Tiada siapa yang dapat mengungkapkan dengan kata-kata perasaan memulakan enjin sebuah motosikal asing buat julung kalinya. Deruman enjin yang memulakan nafas pertama setelah lahir dari kilang seakan memberikan imej lemah sebelum ngauman sebenar menyerlah.
Demikian penjelasan mudah saat memulas ‘throttle’ Ducati Scrambler Desert Sled dan Icon ketika sesi ujian yang berlangsung di Phuket, Thailand, baru-baru ini.
Menurut Ducati, Desert Sled merupakan gabungan sifat ‘off-road’ dan scrambler pada era 60an dan 70an namun kami berasakan Ducati cuba bersifat rendah diri kerana sifat sebenar jentera ini lebih dari itu!
Melihat rupa keseluruhan, perkara pertama yang menarik perhatian si pemerhati adalah rangka yang berwarna merah yang telah diperkukuhkan bagi menahan hentakan terutamanya melalui permukaan yang kurang memaafkan.
Dibantu dengan sistem penyerap hentakan depan boleh laras dan penyerap hentakan belakang Kayaba jentera ini paling sesuai bagi mereka yang gemar meredah bonggol tanpa perlu memperlahankan jentera.
Enjin bersasaran 803 cc yang menghasilkan 73hp pada 8250rpm sememangnya kelihatan agak rendah bagi sebuah jentera Ducati tetapi kuasa bukanlah segalanya apatah lagi bagi jentera yang bukan dihasilkan untuk mencapai kelajuan tinggi.
Di atas jalan raya, prestasi Desert Sled boleh dianggap biasa tetapi sebaik memasuki ‘off-road’ kuda liar yang sebelum ini terkurung di kandang mula menampakkan wajah sebenar.
Usah gusar kerana kuda liar ini mudah dijinakkan meskipun bagi seorang penunggang amatur tetapi apa yang penting adalah perlunya berasa yakin terhadap teknologi dan sistem elektronik Ducati terutamanya tetapan Off-Road dan Bosch ABS Cornering yang memainkan peranan besar.
Sepanjang menyelusuri laluan berbatu dan berlubang di kawasan hutan dan ladang di Phuket, tayar belakang sentiasa membaling kiri dan kanan namun tunggangan masih terasa terkawal meskipun dengan kelajuan sekitar 70 hingga 80 km/j.
Tempat duduk Desert Sled juga empuk bagaikan duduk di atas kerusi sofa direka untuk golongan berada. Ketinggian juga menawarkan perasaan lebih selesa – bagi mereka yang berketinggian lebih 175 cm – jika dibandingkan dengan jentera Scrambler Icon.
Secara keseluruhan, Desert Sled adalah jentera yang menyeronokkan untuk ditunggang terutamanya memasuki ‘off-road’. Jangan bimbang jika tidak memiliki pengalaman sehebat Gabit kerana teknologi dimiliki jentera ini memadai untuk membuat setiap penunggang tampak hebat!
Sementara itu, jentera Ducati Scrambler Icon, ternyata membawa kepada pengalaman yang lebih berbeza. Meskipun berkongsi saiz enjin yang sama (803cc dengan 73hp) namun Ducati menyuntik perwatakan berbeza. Jika Desert Sled umpama kuda liar, Icon merupakan adiknya yang telah dijinakkan.
Icon mengekalkan ciri Scrambler namun lebih berkonsepkan penggunaan harian. Rekaan keseluruhan juga tampak lebih ‘cool’ berbanding Desert Sled.
Perbezaan paling ketara antara kedua-dua model ini adalah, Icon tidak terlalu tinggi seperti Desert Sled dan kedudukan handle juga tidak terlalu lebar sekaligus menjanjikan pengalaman tunggangan yang lebih selesa sepertimana yang dtekankan Ducati.
Meskipun kedua-duanya menghasilkan kuasa yang sama namun prestasi Desert Sled lebih ‘raw’ sementara Icon lebih terkawal sekaligus memudahkan tunggangan.
Kedua-dua jentera ini ternyata dihasilkan bagi memenuhi dua individu yang berbeza namun keduanya memancar identiti Ducati yang sama, keterujaan tak terhingga tanpa mengira permukaan dan keadaan jalan.