Mercedes menyamai rekod lima kali menamatkan perlumbaan satu-dua Formula 1 apabila Lewis Hamilton berjaya memintas rakan sepasukan Valtteri Bottas untuk menjuarai GP Sepanyol, pada Ahad.
Pertahan juara, Lewis Hamilton, turut meraih bonus masa terpantas buat julung kalinya musim ini di samping kembali mendahului kedudukan kejuaraan dengan perbezaan tujuh mata di atas pesaing terdekat, Bottas.
Hamilton mendahului perlumbaan seawal selekoh pertama sebaik dilepaskan diikuti Bottas, sementara wakil Ferrari, Sebastian Vettel yang bermula di petak ketiga dipintas Max Verstappen.
Sementara itu, Hamilton menegaskan dia mahu Mercedes menjadi pasukan paling berjaya dalam sejarah Formula 1 selepas Toto Wolff mencadangkan pelumba Britain itu mungkin berminat untuk menyertai Ferrari.
Menjelang perlumbaan GP Sepanyol, ketua pasukan Mercedes, Wolff mendakwa Hamilton – yang masih terikat sehingga 2020 – mungkin berminat untuk berhijrah ke Ferrari sebelum menamatkan kariernya.
Hamilton tidak menafikan dakwaan itu bagaimanapun menegaskan sasaran utamanya adalah untuk melakar pencapaian terbaik bersama Mercedes.
“Saya tidak ingat apa sebenarnya yang dia katakan tetapi setiap kali dalam perbincangan kontrak, anda perlu menyebut nama Ferrari!
“Toto seorang yang bijak dan perbincangan yang kami adakan berjalan dengan baik. Saya juga telah bersama Mercedes sejak berusia 13 tahun jadi sukar untuk melihat saya bersama pasukan lain.
“Saya tidak pernah menyembunyikan hakikat bahawa saya peminat Ferrari terutamanya kereta Ferrari. Adakah saya bercadang untuk berpindah? Saya belum lagi memikirkan masa depan saya. Buat masa ini saya cukup teruja untuk memandu bersama pasukan ini.
“Saya teruja kerana dapat bersama-sama Mercedes dalam tempoh enam tahun ini.
“Saya bercadang untuk membantu pasukan ini menjadi pasukan paling berjaya dalam sejarah F1. Ini adalah sasaran saya.”
(SUMBER: StadiumAstro)