Apa perasaan sebagai pemilik kereta apabila tiba-tiba terserempak dengan sebuah lagi kereta yang menyamai kenderaan yang dimiliki bukan sahaja daripada segi jenama, warna dan reka bentuk bahkan nombor pendaftaran juga sama?
Itulah yang berlaku terhadap seorang lelaki apabila mendapati sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diletakkan di luar hotel di Kuala Lumpur menyerupai MPV miliknya.
Dalam satu video yang dimuat naik ke laman Facebook, lelaki terbabit terkejut melihat sebuah kenderaan menyamai kereta jenis Toyota Vellfire miliknya.
Lebih memeranjatkan, kereta klon terbabit turut menggunakan nombor pendaftaran dan cukai jalan yang sama!
Selepas membuat laporan, pihak polis kemudiannya menahan seorang lelaki tempatan yang masuk ke dalam MPV terbabit.
Menurut laporan Harian Metro, semakan ke atas nombor chasis mendapati pendaftaran asal kenderaan tersebut adalah atas nombor pendaftaran lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 103(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.