KTM Tidak Puas Hati Dengan Prestasi Zarco

Sumber: Johann Zarco @ Twitter

Ketua Pegawai Eksekutif KTM, Stefan Pierer meluahkan rasa tidak puas hati dengan persembahan Johann Zarco dalam saingan MotoGP musim ini.

Zarco – yang dipikat KTM setelah mempamerkan aksi mantap bersama Yamaha Tech3 musim lalu – bergelut untuk mengulangi kecemerlangan sama musim ini setelah menandatangani kontrak dua tahun.

Pelumba berusia 28 tahun itu hanya mengutip tujuh mata daripada empat perlumbaan musim ini dan mengakui masih lagi bergelut untuk mencapai keserasian dengan jentera RC16.

“Persembahan Johann (Zarco) sememangnya tidak boleh diterima. Dia sedang menghadapi masalah dalaman. Dia juga telah berpisah dengan ejen lamanya, Laurent Fellon, individu yang bertanggungjawab dalam menempatkan di mana dia berada sekarang.

“Tidak cukup dengan itu, orang sekelilingnya turut memberikan pelbagai masalah dan merumitkan keadaan.

“Pada masa sama, dia (Zarco) perlu menerima hakikat bahawa jentera ditunggangnya sekarang bukan Yamaha dengan enjin in-line 4 silinder (KTM menggunakan enjin V4). Bagaimanapun, saya akan memastikan dia dapat memberikan persembahan terbaik sepertimana yang kami kehendaki,” jelasnya.

Selepas empat perlumbaan, KTM kini menduduki tempat terakhir dalam senarai pengeluar dengan 21 mata – tujuh mata lebih baik daripada pencapaian tahun lalu.

Namun, setiap kutipan mata itu datang dari rakan sepasukan Zarco, Pol Espargaro.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]