Keputusan Kementerian Pengangkutan untuk meminda peraturan cermin gelap dalam satu sidang media yang diadakan semalam mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai termasuk pihak berkuasa.
Meskipun rata-rata menerima baik pindaan baharu itu – yang membenarkan cermin sisi kiri dan kanan bahagian penumpang termasuk cermin belakang boleh digelapkan tanpa had – namun sebaliknya bagi pihak polis.
Menurut laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (SPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias meskipun pihaknya menghormati keputusan kerajaan bagaimanapun dia tidak berselindung meluahkan rasa gusar.
Baginya, pengumuman yang dibuat Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke akan menyebabkan tugas pihak polis menjadi sukar di samping mengharapkan pihak kerajaan mengambil kira pandangan pihak berkuasa terlebih dahulu.
Dia turut bimbang akan keselamatan anggota polis yang bertugas ekoran kesukaran untuk melihat bahagian penumpang selain daripada menyukarkan pihak berkuasa mengesan kesalahan kecil antaranya menggunakan telefon pintar ketika memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar.