- AJP Malaysia telah memperkenalkan model AJP PR5 250 dan PR7 600 Adventure 2019 untuk pasaran Malaysia.
- Tawaran terkini bagi segmen motosikal enduro di Malaysia ini berasal dari Portugal dan memiliki pengalaman yang luas dalam penunggangan dwi-sukan.
- Model PR5 250 didatangkan dalam 3 varian: Enduro, Extreme, dan Supermoto.
AJP Malaysia dengan secara rasminya mengumumkan kehadiran mereka dalam pasaran Malaysia dengan pelancaran model AJP PR 5 250 dan PR7 600 Adventure 2019 yang baharu. Syarikat berkenaan telah ditubuhkan pada tahun 2015 dengan nama AJP SEA Sdn. Bhd. dan telah dilantik sebagai pengedar rasmi tungggal pada tahun 2016, dan kini, mereka mengorak langkah lebih ke hadapan dengan pelancaran motosikal enduro baharu mereka.
Setelah bertahun lamanya menganalisa pasaran motosikal dan kancah permotosikalan di Malaysia, mereka telah mendapati yang permintaan terhadap motosikal enduro dan juga acara yang berkaitan dengannya semakin meningkat. Jentera 250cc dan 600cc terkini mereka tersebut telah diimport bagi memenuhi permintaan segmen yang sedang berkembang pesat di dalam negara.
Motosikal AJP PR5 250 didatangkan dalam tiga varian yang berbeza, PR5 250 Enduro, PR5 250 Extreme, serta PR5 250 Supermoto. Ketiga-tiga varian ini dilengkapi dengan enjin satu silinder, empat lejang, SOHC, 250cc sejukan cecair (menghasilkan 30hp dan 27Nm tork) dengan kerangka aluminium komposit yang diperkuatkan dan hanya seberat antara 118kg-123kg.
Transmisi enam kelajuan yang mengawal kuasanya itu sesuai untuk penunggang baharu, tahap pertengahan, malah untuk pengguna jalan raya mahu pun litar. Jika anda inginkan sesuatu yang dapat memberikan sesuatu yang lebih menarik, meski pun bagi penunggang professional, pengeluar motosikal dari Portugal ini adalah salah satu pilihan yang boleh anda pertimbangkan.
Model Enduro dan Extreme datang dalam saiz yang sama dengan ketinggian pelana pada 940mm dan 320mm untuk ‘ground clearance’, manakala varian Supermoto pula didatangkan dengan ketinggian pelana pada 890mm dan 300mm ‘ground clearance’, untuk prestasi litar yang lebih baik.
Bagi suspensinya pula, pakej ZF Sachs (fork hadapan 48mm boleh laras sepenuhnya dengan ruang gerakan 300m dan sistem belakang progresif dengan takungan) telah dilengkapkan bagi mengendalikan penunggangan yang mencabar. Daya hentinya dikendalikan oleh cakera brek hadapan 260mm dengan angkup dua omboh (270mm untuk varian Extreme) dan cakera brek belakang 220mm dengan angkup satu omboh telah dilengkapkan pada model 250cc mereka.
Jika anda inginkan sebuah jentera dengan lebih kuasa, mereka telah datangkan model AJP PR7 600 Adventure bagi memenuhi keperluan penunggangan anda. Motosikal enduro 60hp ini dikatakan akan mendefinasikan semula konsep motosikal kembara, dan didatangkan dengan enjin satu silinder, empat lejang, DOHC, sejukan cecair 600cc yang akan menyuntik lebih ‘oomph’ dalam penunggangan anda.
Kerangkanya juga menggunakan bahan aluminium komposit yang sama dan ia turut dilengkapkan dengan pakej suspensi ZF Sachs (fork hadapan 48mm boleh laras sepenuhnya dan sistem belakang progresif beserta takungan dan ruang gerakan 280mm) serta cakera brek (angkup dua omboh 300mm di hadapan dan angkup satu omboh 240mm di belakang).
Jentera enduro sejati ini dihasilkan untuk mengharungi sebarang cabaran sewaktu penunggangan, dan ianya dibantu oleh saiznya yang besar itu (ketinggian pelana 920mm, jarak antara roda 1540mm, ‘ground clearance’ 320mm). Spesifikasi lain termasuklah tangki bahanapi 17 liter dan roda berjejari (21 inci di hadapan, dan 18 inci di belakang).
AJP Malaysia memberi anggaran bagi model-model 2019 mereka seperti berikut:
PR5 Enduro, Extreme, dan Supermoto – RM25,000 – RM30,000.
PR7 600 Adventure – RM55,000 – RM60,000.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari laman Facebook AJP Malaysia