Finalis Pulsar Dareventure Bawa Pulang Motosikal Modenas!

Rancangan realiti motosikal pertama di Malaysia, Pulsar Dareventure oleh Modenas akhirnya sampai ke penghujung dengan tiga pemenang diumumkan di The Garage KL, hari ini.

Rancangan terbabit yang sebelum ini diadakan di Nepal, Sri Lanka dan Peru merupakan edisi pertama seumpamanya yang diadakan di Asia Tenggara.

Majlis yang berlangsung menyaksikan Leong Choon Yip dari Puchong, dinobat sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 serta sebuah Modenas Pulsar NS200.

Tempat kedua menjadi milik Paavignes Rao @ Vicky A/L Chandarh Roo dari Negeri Sembilan sementara wakil tunggal kaum hawa, Nik Norparhana Yasmin Nik Wel, dari Kelantan, ketiga.

“Saya rasa amat teruja kerana dapat muncul sebagai pemenang bagi edisi pertama Pulsar Dareventure. Disebabkan penyertaan agak ramai jadi saya agak terkejut kerana mampu muncul sebagai pemenang.

“Saya langsung tidak meletakkan sebarang harapan ketika mendaftarkan nama untuk menyertai cabaran ini. Pada masa sama, saya tidak menghantar video pun seperti yang dikehendaki tetapi entah macam mana saya mendapat makluman yang mengatakan nama saya telah tersenarai,” jelas Yip yang masih dengan raut wajah terkejut kerana muncul sebagai pemenang.

Sementara itu, Vicky yang muncul sebagai tempat kedua, akui dia hanya menyangka akan membawa pulang hadiah wang tunai kerana itulah yang diberitahunya di awal pertandingan.

“Saya memang bersyukur, saya tidak menyangka akan membawa pulang sebuah motosikal Modenas V15! Ketika penggambaran memang tiada berita pasal mendapat hadiah motosikal kecuali bagi tempat pertama,”ujarnya.

Vicky turut berkongsi bagaimana kejayaannya di Pulsar Dareventure secara tidak langsung dibantu ayahnya.

“Minat saya menunggang motosikal datang dari ayah saya. Dia memang berminat dengan jentera dua roda. Pada awalnya, minat saya terhadap motosikal tidak seberapa tetapi sebaik diberi peluang merasai jentera NS 200 ketika penggambaran rancangan ini, saya berasa sangat gembira!”tambahnya.

Bagi Nik, yang datang jauh daripada Kelantan – pada awalnya sedikit keberatan untuk datang ke Kuala Lumpur kerana terpaksa menempuh perjalanan yang jauh sebelum dipujuk Modenas – ternyata kehadirannya tidak sia-sia kerana selain daripada membawa pulang wang tunai RM1,500, Modenas turut membuat kejutan dengan menghadiahkan sebuah Modenas Kriss MR2!

Dia juga merupakan satu-satunya pemilik NS200 dikalangan finalis hari ini.

“Disebabkan saya memiliki NS200 sendiri jadi tidak terlalu lasak dengan motosikal tersebut sehinggalah saya diberi peluang untuk mencuba jentera sama yang disediakan Modenas. Barulah, saya dapat merasai kemampuan sebenar Pulsar.

“Meskipun kami diberikan pelbagai cabaran dan halangan tetapi dengan jentera Pulsar saya dapat berasakan kami mampu mengatasi halangan yang jauh lebih sukar,”katanya.

Nik turut berkongsi kisah bagaimana dia membuat keputusan yang tepat untuk membeli Pulsar sebelum ini.

“Saya telah menyaksikan pelbagai video reviu Pulsar NS200 dan daripada pengamatan saya, sememangnya motosikal ini memuaskan hati saya apatah lagi harganya yang di bawah RM10,000. Secara peribadi, model ini merupakan langkah baik sebelum beralih ke jentera yang lebih besar. Saya juga bercadang untuk beralih ke Modenas Dominar 400 tetapi saya perlu mendapatkan lesen B terlebih dahulu!”tambahnya.

Rancangan Modenas Pulsar Dareventure telah berjalan selama lapan episod dan menyaksikan para peserta menempuh pelbagai cabaran dengan menunggang Pulsar NS200 ke Selangor, Perak, Pahang dan Putrajaya.

Antara cabaran menarik dihadapi adalah cabaran paintball sambil menunggang, kuiz sejarah dan cabaran kerjasama dengan peserta lain.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Operasi MODENAS, Roslan Roskan berkata program tersebut mencapai objektif utama iaitu memaparkan kemampuan sebenar Modenas Pulsar NS200.

“Kami gembira kerana Pulsar Dareventure edisi Malaysia berjalan dengan jayanya. Rancangan realiti ini berjaya memaparkan kemampuan penuh motosikal ini.

“Kami di Modenas berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Bajaj daam menghasilkan jentera yang baru dan menyeronokkan kepada peminat dua roda di Malaysia,” katanya.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply