Konvoi 100 Buah Ferrari Gegar Kuala Lumpur

Pengedar rasmi Ferrari dari tiga negara, Malaysia, Singapura dan Thailand bersama-sama meraikan ulang tahun ke-10 selaku pengedar dengan pelbagai aktiviti di hujung minggu.

Naza Italia, Ital Auto Pte Ltd dan Cavallino Motors Co. Ltd merupakan pengimport dan pengedar rasmi bagi jenama Ferrari di Malaysia, Singapura dan Thailand.

Pada 19 April lalu, sebanyak 100 pemilik kenderaan Ferrari dari ketiga-tiga negara telah menghadirkan diri di Hotel St. Regis bagi meraikan Ulang Tahun Ke-10 yang turut menyaksikan pelancaran model baharu, Ferrari F8 Tributo.

Pelancaran ini membuka lembaran baru buat pasaran di Asia Tenggara kerana buat pertama kalinya jentera Ferrari baharu dilancarkan di benua ini sejak dipersembahkan di Pameran Motor Geneva, March lalu.

Ferrari turut mengadakan konvoi – yang melibatkan lebih 100 buah kereta Ferrari – ke istana Sultan Selangor dan berkunjung ke Muzium Kereta Sultan Selangor sebelum disusuli dengan pemanduan ke Putrajaya.

Bukan itu sahaja, perlumbaan khas bagi setiap pemilik Ferrari turut diadakan di Litar Antarabangsa Sepang dengan beberapa cabaran disediakan antaranya, Time Attack Challenge.

Konvoi Ferrari tersebut turut hadir ke Litar Sepang bagi menyaksikan Cabaran Trofeo Pirelli Asia Pasifik 2019, Ahad lalu.