Rali Dakar 2020 Akan Dianjurkan Di Arab Saudi

Toby Price sewaktu Dakar 2019
  • Perlumbaan Rali Dakar akan berpindah ke Arab Saudi bermula tahun 2020.
  • Perubahan ini bertitik tolak daripada kebimbangan berkenaan dengan politik dan kewangan di Amerika Selatan.
  • Satu sidang akhbar akan diadakan pada 25 April bagi menjelaskan lagi mengenai pertukaran tersebut.

Perlumbaan Rali Dakar akan berpindah ke Arab Saudi bermula pada tahun 2020, setelah spekulasi yang berbulan lamanya.

Khabar angin mengenai berakhirnya siri perlumbaan di Amerika Selatan telah bermula dalam masa beberapa minggu selepas tamatnya perlumbaan bagi edisi 2019. Terdapat juga desas desus mengatakan yang perlumbaan ini bakal pulang ke ke benua asalnya di Afrika, tetapi di bahagian selatan. Sejurus selepas itu, ada satu pos di Instagram yang mendakwa bahawa negara Arab Saudi sedang melobi hak untuk menganjurkan perlumbaan tersebut.

Dan dakwaan tersebut akhirnya telah disahkan oleh sebuah pos laman Facebook rasmi Dakar Rally.

Benua Afrika telah menjadi tuan rumah bagi perlumbaan rali berkenaan sejak mula lagi namun ketidakstabilan politik di negara Mauritania telah menyebabkan pembatalan perlumbaan bagi tahun 2008. Pihak penganjur memutuskan untuk memindahkan perlumbaan itu ke benua Amerika Selatan, di mana perlumbaan tersebut diadakan merentasi negara Argentina, Bolivia, dan Peru.

Bagaimana pun, kebimbangan berkenaan keadaan politik dan kewangan telah menghantui perlumbaan Rali Dakar ini, menyebabkan ianya hanya diadakan di Peru pada awal tahun ini.

Pada ketika itulah bermulanya tiupan khabar angin mengatakan yang perlumbaan ini mungkin kembali ke benua Afrika, namun akan dianjurkan di negara Afrika Selatan, Namibia, Angola, dan Botswana, dan bukannya wilayah utara yang bersejarah.

Namun, satu pos Instagram oleh seorang peserta telah mendakwa yang Arab Saudi bakal menjadi tuan rumah yang seterusnya. Perlumbaan rali ini akan meliputi sebahagian daripada 3.6 juta kilometer per segi kawasan padang pasir Arab.

Penganjur Rali Dakar, Amaury Sport Organization (ASO), telah mengesahkan yang mereka telah memeterai perjanjian lima tahun bersama Arab Saudi. Negara berkenaan kini akan menyertai negara Qatar, Oman, dan Emiriyah Arab Bersatu sebagai destinasi sukan permotoran di Semenanjung Tanah Arab.

Satu sidang akhbar akan diadakan pada 25 April bagi memberikan maklumat tambahan mengenai perlumbaan Rali Dakar 2020.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]