MotoGP dengan rasminya mengabadikan nombor 69 milik Nicky Hayden dalam satu majlis yang diadakan di GP Amerika, semalam.
Bekas juara MotoGP 2006 itu – yang diberi jolokan The Kentucky Kid – meninggal dunia di usia 35 tahun apabila terlibat dalam satu kemalangan ketika sedang mengayuh basikal dalam satu sesi latihan di Itali pada Mei 2017.
Mereka yang hadir ketika majlis penghormatan tersebut terdiri daripada ahli keluarga Hayden termasuk presiden Persekutuan Motosikal Antarabangsa, Jorge Viegas dan Carmelo Ezpeleta, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dorna.
Tommy Hayden meluahkan rasa terima kasih kepada penghargaan khas yang diberikan kepada adiknya itu.
“Terima kasih kepada semua yang bersama kami hari ini. Nicky amat menyayangi arena MotoGP kerana dia mengenali ramai individu yang baik.
“Nicky bukan sahaja melakar pelbagai kejayaan di atas litar malah memberi impak besar dalam kehidupan semua termasuk di luar litar.
‘Nombor 69 memberi makna istimewa dalam keluarga kami. Ayah saya berlumba dengan nombor yang sama termasuklah adik beradik kami.
“Nicky membawa nombor tersebut sepanjang kariernya jadi ini satu penghargaan kepada kami. Terima kasih kepada semua kerana memastikan legasi Nicky terus berjalan, katanya.
(SUMBER: StadiumAstro)