Suasana “Roy, Roy.. Hati Kau Keras” Bergema Di Morib

Sebaik menjejakkan kaki ke tapak acara Retromania 2019, pengunjung seakan kembali ke era 60an hingga 80an apabila disambut dengan ribuan motosikal retro.

Pelbagai motosikal retro hadir mewarnai Retromania 2019 antaranya Yamaha, Honda, Suzuki, Kawasaki dan Vespa termasuk pelbagai booth yang menjual pelbagai barangan dan peralatan lama dan baru.

Bagi menghangatkan lagi acara, penganjur turut mengadakan pelbagai aktiviti antaranya cabutan bertuah dan anugerah Retromania 2019.

Bagaimanapun acara kemuncak yang paling dinantikan pengunjung adalah Sembang Santai Mat Moto yang menampilkan bekas pelumba negara antaranya, Adi Haslam, Hisham Ngadin, Azman Ali, Ghazali Abdullah, Daud Nawi, Yasir SAid dan Raymond Tan.

Bukan itu sahaja, Retromania 2019 turut menyaksikan kehadiran pelakon utama Gila-Gila Remaja, Faizal Hussein.

Retromania merupakan perhimpunan motosikal retro paling besar pernah diadakan di negara ini yang pada mulanya diadakan di Port Dickson 11 tahun lalu.

Bagaimanapun, ekoran jumlah penyertaan motosikal meningkat dengan mendadak saban tahun, penganjur Retromania – yang sebelum ini dikenali sebagai Santai Retro – telah mengubah lokasi ke Dataran Pantai Morib, Banting.

Dalam perkembangan lain, kegigihan seorang pemuda untuk menempuh perjalanan sejauh 500km dari Marang, Terengganu untuk hadir di Retromania 2019 membuahkan hasil apabila dia berjaya membawa pulang sebuah motosikal skuter ketika sesi cabutan bertuah yang berlangsung semalam.

Muhammad Shafie Ismail, 22 tahun, tidak menjangkakan tuahnya itu meskipun kali pertama sampai di Morib bersama rakan-rakannya.

Sementara itu, ADUN Morib, Hasnol Baharudin berkata penganjuran Retromania Gathering 2019 kali ini membawa kemeriahan yang jauh berbeza berbanding sebelum ini.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.