Paten Motosikal Tiga Roda Honda Didedahkan!

  • Sebuah paten yang menunjukkan sebuah motosikal Honda tiga roda telah tersebar di atas talian.
  • Meskipun ia tertulis sebagai “dua atau enam silinder”, kami amat yakin yang ia akan menggunakan enjin ‘flat-Six’ model Gold Wing.
  • Adakah ini pertaruhan Honda bagi mencabar model Yamaha Niken?

Honda mungkin sekali sedang dalam usaha membangunkan sebuah motosikal tiga roda mencondong yang berasaskan kepada model Honda Gold Wing sebagai saingan buat model Yamaha Niken.

Konsep motosikal tiga roda mencondong bukanlah satu konsep yang baharu, di mana ianya telah diperhalusi oleh Piaggio dengan skuter MP3. Bagaimana pun, Yamaha adalah pengeluar pertama yang mengaplikasikan konsep ini bagi motosikal berprestasi tinggi dan menarik perhatian ramai atas usaha mereka itu. Bukan itu sahaja, Yamaha juga dikhabarkan sedang membangunkan sebuah motosikal tiga roda 1,700cc.

Honda sudah pasti tidak mahu ketinggalan di belakang sebuah pengeluar Jepun yang lain yang sedang membangunkan sesuatu yang bakal merevolusikan industri.

Majalah RideApart berjaya menemui sebuah paten bagi motosikal tiga roda mencondong Honda. Dari lakaran tersebut, ianya dijana oleh sebuah enjin ‘flat-Six’. Namun keterangan pada paten berbunyi, “Silindernya mungkin sekali dari jenis dua silinder atau enam silinder.” Kami di sini berasa amat yakin yang ianya akan dijana oleh enjin ‘flat-Six’, GL1800 Gold Wing, bagi bersaing dengan pembangunan motosikal tiga roda 1,700cc Yamaha.

Honda telah memperkenalkan motosikal konsep tiga roda NeoWing pada tahun 2016, namun ianya dikatakan dijana oleh sebuah enjin hibrid. Model NeoWing tidak diteruskan ke tahap pengilangan namun, ia mungkin sekali menjadi sebuah model uji bagi sebuah motosikal tiga roda yang lebih canggih.

Motosikal konsep Honda NeoWing

Enjin ‘flat-Six’ 1,800cc mampu menghasilkan sehingga 125 hp pada waktu ini, berbanding dengan enjin tiga selari MT-09 Niken yang mampu menghasilkan sehingga 113 hp. Namun, yang lebih penting di sini adalah daya kilasnya, memandangkan motosikal tiga roda ini lebih berat.

Adakah motosikal konsep ini bakal sedia dipertontonkan menjelang Tokyo Motorshow tahun ini? Kami tidak sabar lagi untuk menyaksikannya nanti!

Sumber: Free Patents Online

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.