- Mahkamah Rayuan MotoGP telah memutuskan yang winglet lengan ayun Ducati tidak menyalahi peraturan.
- Ianya berikutan dengan bantahan yang dikemukakan oleh empat pengeluar selepas perlumbaan MotoGP Qatar.
- Keputusan ini bermakna yang Andrea Dovizioso mengekalkan kemenangan, mata, dan kedudukannya dalam anak tangga kejohanan.
Mahkamah Rayuan MotoGP telah memutuskan yang winglet lengan ayun yang telah digunakan oleh Ducati tidak menyalahi peraturan. Winglet tersebut telah dipasang pada tiga buah jentera Ducati Desmosedici GP19 di perlumbaan MotoGP Qatar 2019.
Di mana mahkamah berkenaan telah memberikan keputusan mereka, mereka tidak pula menyatakan sebab mahu pun data apa yang telah meyakinkan mereka.
Dengan itu kita boleh menganggap yang mereka berpendapat bahawa peralatan tersebut mengurangkan suhu tayar belakang dan bukannya memberikan daya ‘downforce’ aerodinamik tambahan. Selepas ini, Ducati dibenarkan untuk menggunakan winglet lengan ayun ini HANYA SEKIRANYA ia dilengkapi bersama dengan ‘spoiler’ roda hadapan.Keputusan ini bermakna Andrea Dovizioso berjaya mengekalkan mata dan kemenangannya di Qatar, manakala Ducati juga turut mengekalkan kutipan mata pengeluar yang telah mereka perolehi di pusingan pertama berkenaan.
Bagaimana pun, keputusan ini telah menimbulkan satu masalah yang baharu: Bagaimanakah Dorna dan FIM akan memastikan yang winglet yang akan digunakan pada masa yang akan datang, sama ada oleh Ducati mahu pun oleh pengeluar yang lain, tidak memberikan sebarang kelebihan aerodinamik dari segi ‘downforce’?
Buat waktu ini, dijangkakan akan dibentangkan peraturan-peraturan yang baharu.
Isu ini mula mendapat perhatian dan menimbulkan perdebatan hangat setelah empat buah pengeluar membuat bantahan selepas perlumbaan di Qatar. Empat buah pengeluar berkenaan – Aprilia, KTM, Honda, dan Suzuki – berpendapat yang winglet tersebut memberikan daya ‘downforce’ pada lengan ayun Ducati bagi memastikan tayar belakang kekal berada di atas litar, membantu kestabilan dan memanjangkan jangka hayat tayar. Dan oleh kerana itu, ia tidak sah kerana winglet berkenaan tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan untuk kelengkapan aerodinamik.
Ducati bagaimana pun bertegas yang satu-satunya fungsi alat tersebut adalah untuk menyalurkan udara ke tayar belakang bagi menyejukkannya. Pengeluar tersebut telah menunjukkan reka bentuk tersebut kepada Pengarah Teknikal MotoGP, Danny Aldridge sebelum perlumbaan. Ia kemudiannya telah mendapat kebenaran dan memo kemudiannya telah dihantar kepada semua pasukan.
Para pengeluar lain bagaimana pun, tidak bersetuju dengannya, lebih-lebih lagi Aprilia. Mereka telah terlebih dahulu menunjukkan reka bentuk bagi peralatan yang serupa kepada Pengarah Teknikal tetapi tidak dipersetujui kerana melanggar peraturan kelengkapan aerodinamik.
Mereka telah membuat bantahan selepas perlumbaan, namun bantahan mereka telah ditolak, dan dengan itu ianya telah dirujuk ke Mahkamah Rayuan MotoGP.