Ikut 5 Langkah Ini Untuk Elakkan Kaliper Brek Anda Dicuri!

Semakin hari, semakin kerap kita terbaca luahan orang ramai yang menjadi mangsa kes kecurian kaliper brek motosikal dengan selebriti terkenal, Afdlin Shauki turut tidak terlepas apabila pencuri melarikan kaliper brek jenama Brembo dan beberapa komponen lain daripada motosikal jenama Ducati miliknya, hujung tahun lalu.

Insiden seperti ini memberi kesan perit bagi setiap pemilik motosikal apatah lagi telah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk memiliki jentera idaman.

Bukan itu sahaja, kehilangan kaliper brek mampu mendatangkan bahaya kepada penunggang sekiranya tidak menyedari komponen penting itu telah hilang sebelum memulakan perjalanan!

Tatkala insiden seperti ini dijangka tidak akan berakhir dalam masa terdekat dengan permintaan untuk mendapatkan kaliper brek jenama ‘bangsawan’ semakin tinggi, kami mencadangkan lima langkah ini bagi menangani gejala rembat kaliper brek:

1) Penggunaan ‘special nut’atau ‘secure nut’

‘Special nut’atau ‘secure nut’mampu memberi jaminan dalam memastikan kaliper brek anda tidak mudah dirembat kerana sukar untuk mana-mana malaun membuka kaliper tanpa peralatan yang betul.

Meskipun tidak memberi jaminan seratus-peratus namun sedikit sebanyak ia menyukarkan kerja haram si pencuri!

2) Roadlok, mangga khas untuk kaliper brek

Kredit foto: www.roadlok.com

Tidak seperti mangga lain yang sekadar mengunci brek disk, Roadlok mengunci bahagian kaliper brek!Menariknya, pemilik boleh membiarkan pengunci tersebut ketika menunggang dan hanya perlu membuka kunci khas! Meskipun harga mangga khas ini agak tinggi namun ia satu perbelanjaan yang berbaloi jika dibandingkan dengan ribuan ringgit yang harus dibelanjakan sekiranya kaliper brek dicuri.

3) Letakkan motosikal dihadapan mata ‘pak guard’atau pengawal keselamatan

Tidak kira anda di rumah mahupun di pusat membeli belah pastikan kenderaan anda diletakkan dikawasan yang mudah dilihat dan senang untuk diawasi. Sekiranya terpaksa meletakan kenderaan di parkir motosikal, pastikan berdekatan dengan pengawasan pegawal keelamatan. Jika anda berasa was-was, bawa naik motosikal anda menaiki lif dan letakkan di ruang tamu – langkah ini dijamin 100 peratus selamat!

4) Pasang penggera atau kamera tertutup (CCTV)

Pelik tapi berkesan, pemilik motosikal boleh mendapatkan penggera bersaiz kecil dan letakkan dibahagian dalam – kearah rim motosikal – apabila dikawasan parkir. Penggera tersebut akan berbunyi sekiranya kaliper digerakkan! Selain itu, anda juga boleh memasang CCTV di kawasan parkir bagi memastikan motosikal anda sentiasa dalam pandangan.

5) Elak beli motosikal berkuasa tinggi

Hakikatnya, hanya motosikal berkuasa tinggi yang akan didatangkan dengan kaliper brek yang mampu menarik perhatian pencuri. Oleh itu, seandainya tidak boleh mengikuti langkah-langkah seperti di atas elakkan daripada membeli motosikal berkuasa tinggi!

Usah cepat melatah,  bukannya menafikan hak membawa motosikal berkuasa tinggi namun motosikal berjenama sememangnya menjadi sasaran pencuri.  Apa yang penting pastikan motosikal anda diletakkan di kawasan yang selamat, mudah diawasi dan dikunci dengan baik.

Demikian antara langkah yang kami rasakan mampu menjamin keselamatan kaliper brek setiap pemilik motosikal – meskipun bukan jaminan 100 peratus. Sekiranya kecurian tetap berlaku meskipun anda telah mengikut langkah-langkah ini, kami mencadangkan agar motosikal dan tuan empunya badan menjalani sesi mandi bunga *sekadar gurauan*.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply