Seorang remaja 15 tahun bersama isterinya yang sedang sarat mengandung antara ratusan yang ditahan pihak polis susulan didakwa terlibat dalam aktiviti lumba haram, Jumaat lalu.
Memetik laporan Sinchew, sekatan jalan raya telah dilakukan di antara jam 4.30 petang dan 8.30 malam di Kemaman, Terengganu, bagi membanteras gejala lumba haram di kawasan terbabit.
Difahamkan, seramai 105 penunggang motosikal dan 30 pembonceng antara yang ditahan bagi membantu siasatan.
Namun, dikalangan ratusan penunggang, seorang remaja bersama isterinya – masing-masing berusia 15 tahun – yang turut mengandung tujuh bulan antara yang mencuri perhatian pihak berkuasa.
Ketua polis daerah Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim mengesahkan laporan tersebut lalu berkata bahawa remaja tersebut didapati menunggang dengan bahaya tanpa sebarang lesen sambil membawa isterinya.
Semua pesalah kemudiannya dibawa ke masjid untuk menunaikan solat sebelum diminta menolak motosikal masing-masing sejauh lima kilometer ke balai polis Kemaman untuk tindakan lanjut.
Sebanyak 188 saman telah dikeluarkan melibatkan kesalahan tiada lesen memandu yang sah dan cukai jalan tamat tempoh.