Tunggang Uji Kawasaki Ninja ZX-10R SE 2019 – Jiwa Kelajuan

  • Motosikal Kawasaki Ninja ZX-10R SE 2019 ini mungkin tampak agak mirip pendahulunya, namun, ianya telah menjalani sejumlah rombakan semula.
  • Selain daripada kepala silinder dan ‘valvetrain’, varian SE ini juga dilengkapi dengan suspensi separa aktif elektronik.
  • Ianya sebuah jentera yang hebat untuk jalan raya dan juga di atas litar.

Para peminat kejohanan World Superbike Championship pasti sudah sedia maklum yang Kawasaki telah menjuarai kejohanan empat musim berturut-turut. Kini, mereka telah kembali dengan model Kawasaki Ninja ZX-10R SE.

Sebelum kami meneruskan ulasan, ingin kami tekankan, jentera yang digunakan untuk kejohanan dengan motosikal yang dijual untuk orang ramai ada perbezaannya. Ini kerana meski pun WorldSBK adalah kejohanan berasaskan motosikal pengeluaran, jentera yang dipertandingkan atas litar dilengkapi dengan kelengkapan gred perlumbaan yang tidak ada pada motosikal yang mereka jual. Jadi, keputusan atas litar tidak menjanjikan prestasi yang sama atas jalan raya.

Namun begitu, ada sesetengah motosikal lumba yang amat sesuai untuk keadaan dunia sebenar, seiring dengan prestasinya di atas litar. Sebagai contoh motosikal ini.

Pengenalan

Model Kawasaki Ninja ZX-10R SE 2019 adalah motosikal berspesifikasi pertengahan antara model asas Ninja ZX-10R dan Ninja ZX-10RR. Ninja ZX-10RR merupakan model homologasi bagi perlumbaan superbike.

Kawasaki hanya membuat perubahan kecil pada motosikal ini bagi tahun 2019. Bak kata pepatah Inggeris “If it ain’t broke, don’t fix it.”

Antara rombakan semulanya adalah:

  • Kepala slinder yang lebih kompak bagi membolehkan pembakaran yang lebih pantas.
  • ‘Cam lobes’ yang beroperasi terus pada ‘finger follower’ dan bukannya pada ‘tappet’. Ini menyumbang kepada pengurangan jisim sebanyak 20%.
  • Juga, ‘cam lobes’ boleh menjadi lebih agresif.

Rombakan semula ini bertujuan untuk menjadikan kitaran enjinnya lebih pantas dan meningkatkan had kitaran. Hasilnya adalah 200 PS tanpa ‘ram air’, dan 213 PS pada 13,000rpm dengan ‘ram air’. Tork maksima dikhabarkan 114.9Nm pada 11,200rpm.

Ciri-ciri lain termasuklah:

  • “Kawasaki Electronically Controlled Suspension” (KECS). Motosikal Ninja ZX-10R SE 2019 adalah model pertama Kawasaki yang akan dilengkapi dengan suspensi separa aktif elektronik.
  • Kawalan cengkaman sensitif condong berasaskan IMU Bosch dan ABS menyelekoh.
  • Peredam stereng elektronik Öhlins.

  • Lengan ayun dengan tahap ketegaran yang dioptimumkan dan lebih panjang.
  • Angkup Monobloc Brembo M50 yang mencengkam cakera brek 330mm Brembo.
  • Injap pendikit elektronik.
  • Geometri kerangka yang diolah semula, menggerakkan kepala stereng lebih dekat ke penunggang.
  • Kawasaki Quickshifter yang berfungsi untuk pertukaran ke gear yang lebih tinggi mahu pun rendah.
  • Cat ‘baik pulih kendiri’ pada bahagian yang mudah tercalar seperti mana yang ada pada model Kawasaki H2 2019.
  • Roda tempa aluminium Marchesini

Penunggangannya

Perkara pertama yang kami lakukan adalah memeriksa mod penunggangannya. Terdapat tiga tahap kuasa: F (Full), M (Medium), dan L (Low). Kami tetapkan pada F. Kemudian, kami menghidupkan KEBC – kawalan pembrekan enjinnya. Dan akhir sekali, kami pilih “ROAD” untuk tahap suspensinya.

Pelananya agak tinggi, sama seperti motosikal lumba yang lain. Bagaimana pun, palang pemegang ‘clip-on’-nya tidaklah serendah motosikal yang lain dan jelas lebih dekat dengan kami. Oleh itu, motosikal ini tidaklah memaksa anda untuk memanjangkan badan. ‘Rearset’nya terletak tinggi tapi lebih ke hadapan berbanding pesaingnya.

Perkara pertama yang kami perasan adalah betapa mudahnya untuk memandu arahnya melalui ruang yang sempit pada kelajuan yang rendah. Palang pemegang ‘clip-on’ yang lebih tinggi itu tidak menyebabkan anda untuk menekannya sewaktu dalam kelajuan rendah. Dan dengan itu, ia tidak memerlukan tenaga yang banyak untuk membelok roda hadapan.

Motosikal mula bergerak dengan lancar apabila kami melepaskan klac. Dari situ, pertukaran gear dilaksanakan oleh quickshifter. Penukaran gearnya amat lancar sekali meski pun ketika turun ke gear satu. Sistemnya mematikan pendikit secara automatik, supaya anda tidak terhentak pada tangki bahanapinya sewaktu anda tukar ke gear yang lebih rendah.

Kami cukup kagum dengan agihan kuasanya. Di mana anda masih merasa pemecutan sejatinya itu, ia juga tidak mempunyai masalah untuk berada pada kelajuan 60km/j dalam gear keempat tanpa enjinnya berbunyi bising. Tindak balas pendikitnya amat tepat sekali dan lancar oleh kerana gelendong kuasanya yang lebar. Cukup lancar sekali, sehinggakan tindak balas pendikit dan enjinnya saling tidak tumpah seperti sebuah motosikal sport-tourer sewaktu ditunggang dalam bandar.

Benda yang paling mengagumkan kami adalah suspensi elektronik KECS. Sistem ini telah dipadankan dengan “Balance Free Forks” (BFF) dan penyerap hentakan belakang “Balance Free Rear Cushion (BFRC) Showa yang cukup hebat sekali. Atas kertas, ia nampak seperti sistem separa aktif yang sama seperti Sach dan Öhlins, tetapi, sistem ini lebih pantas dalam tugasnya. Injap solenoid mempunyai aktuasi satu-tahap yang terus. Dengan itu, masa reaksinya hanyalah satu milisaat (0.001), dan ia mendakwa dirinya sebagai sistem terpantas yang ada buat masa ini. Bukan itu sahaja, ECU khusus KECS itu menerima maklumat dari pengesan suspensi setiap 1 milisaat, 10 milisaat dari IMU dan 10 milisaat dari pengesan kelajuan jalan raya. Ia kemudiannya akan menentukan strategi terbaik dan menghantar isyarat ke aktuator solenoid setiap 1 milisaat. Ini bermakna suspensinya menyesuaikan diri kepada keadaan jalan raya dengan lebih pantas dan tepat.

Penunggang boleh memilih sama ada mod RACE, ROAD, dan USER. Mod USER membolehkan anda untuk menetapkan kadar redamannya.

Ditunggang atas jalan raya dalam mod ROAD, suspensinya terasa lebih selesa berbanding motosikal-motosikal lumba lain yang pernah kami uji. Bonggolannya tetap dirasai, tetapi ianya diredam dengan baik sekali. Sekali lagi, ia terasa seperti sebuah motosikal sport-tourer yang ditala secara agresif. Hanya bonggol yang besar dan tajam yang betul-betul terasa tetapi tidaklah sehingga menyebabkan anda kesakitan.

Walaupun ianya amat selesa, suspensinya tidak sekali pun pernah sampai melandut habis seperti ianya ditala terlalu lembut.

Menakjubkan!

Apa guna sebuah motosikal lumba jika anda tidak uji kebolehan menjarah selekoh. Sekali lagi kami menuju ke Lebuhraya Karak dan Genting Highlands untuk mengujinya.

Kelajuan jelas terasa sewaktu anda memulas pendikitnya dan anda boleh lihat ianya meningkat dengan pantas di takometer motosikal ini. Enjinnya mengeluarkan bunyi ‘pop’ setiap kali kami menukar gear. Pecutannya amat pantas sekali, ianya bagaikan memasuki ‘warp speed’ dalam keadaan gerak perlahan. Pada masa yang sama, motosikal ini terasa amat teguh sekali dalam garisan lurus.

Namun di selekohlah tempat di mana taringnya mula ditunjukkan apabila ia menyusurinya pada kelajuan tinggi. Pilih laluan anda dan pandu ke arahnya: itu sahaja yang perlu anda lakukan. Satu-satunya perkara yang menghalang kami daripada memecut lebih laju adalah saiz tangki bahanapinya. Ianya agak lebar di atas dan pada sisinya., dan dengan itu memerlukan lebih banyak masa untuk membiasakan diri dengan peralihan sisi ke sisi. Walau bagaimana pun, tangkinya yang besar itu memudahkan kami untuk mendakapnya dengan lutut kami sewaktu kami memecut pantas.

Breknya adalah apa yang anda boleh harapkan dari sebuah brek Monobloc Brembo. Tetapi ada perbezaan kecil di sini. Rasanya amat baik sekali dan anda tahu berapa banyak anda memodulasi tekanan brek pada tuilnya. Namun, ia kekurangan cengkaman pertama yang agresif, yang disukai sesetengah penunggang. Bagi kami, rasanya cukup menakjubkan sewaktu kami melakukan ‘trail-brake’ dengan keras memasuki selekoh tajam sewaktu memanjat bukit. Perkara itu bersama dengan aksi suspensinya yang menakjubkan membolehkan kami untuk membrek di saat-saat terakhir dan memegang brek dengan lebih lama di dalam selekoh. Satu-satunya hadnya adalah kebolehan penunggang.

Motosikal ZX-10R yang lebih lama lebih mudah untuk tersentuh tempat letak kaki pada jalan raya, tetapi tidak bagi model 2019. Anda perlu mencondong begitu rapat ke jalan raya pada kelajuan yang tinggi dan jika anda berjaya menyentuhkan tempat letak kaki ke tar jalan raya, ini bermakna anda bergerak terlalu laju.

Kesimpulan

Motosikal Kawasaki Ninja ZX-10R SE 2019 ini adalah sebuah motosikal yang boleh digunakan sebagai tunggangan harian. Pengeluarnya telah melakukan tugas yang hebat dalam memastikan ianya sebuah motosikal yang hebat, bukan sahaja di atas litar, tetapi juga di atas jalan raya, untuk semua.

Perkara yang menakjubkan mengenai motosikal ini adalah betapa mudahnya ianya bertukar sifat dari sebuah jentera buas pada satu masa, dan kemudiannya, menjadi sebuah motosikal yang cukup mudah untuk dipandu arah dalam kesesakan trafik bandaraya. Contohnya, ia dengan mudah sekali meninggalkan semua di Genting dan Karak, dan kemudiannya bergerak dengan santai sekali di MRR2. Oh ya, ia juga tidak akan cuba membakar peha anda sewaktu berhenti di lampu isyarat.

Selain itu, suspensinya cukup selesa sekali.

Ianya seakan sebuah motosikal bagi penunggang baharu jika anda menunggangnya dengan santai, dan berubah menjadi senjata penunggang MSBK apabila ditunggang dengan penuh agresif.

Spesifikasi Teknikal

ENGINE
ENGINE TYPE 4-stroke, DOHC, liquid-cooled, inline-Four
DISPLACEMENT 998 cc
BORE x STROKE 76.0 mm x 55.0 mm
POWER 203 PS (149.3 kW) @ 13,000 RPM without ram air, 213 PS (156.8 kW) @ 13,000 RPM with ram air
TORQUE 114.9 Nm @ 11,200 RPM
COMPRESSION RATIO 13.0:1
TRANSMISSION Constant mesh, 6 speed, bi-directional quickshifter equipped
FUEL SYSTEM Electronic fuel injection with ride-by-wire throttle
CLUTCH Multiple-plate wet clutch with slipper feature, cable operated
CHASSIS
FRAME Twin-spar, cast aluminium
FRONT SUSPENSION Upside-down ø 43 mm Showa Balance Free Forks (BFF), electronically controlled damping, manual adjustment for spring preload
REAR SUSPENSION Showa Balance Free Rear Cushion (BFRC) monoshock with Uni-Trak link. Electronically controlled damping with manual spring preload adjustment
SUSPENSION TRAVEL FRONT/REAR 120 mm / 114 mm
FRONT BRAKE 2 X 4-piston Brembo M50 Monobloc calipers, ø 330 mm Brembo floating discs
REAR BRAKE 1 X single-piston floating caliper, ø 220 mm brake disc
ABS IMU-based Cornering ABS
TIRES FRONT/REAR 120/70ZR17; 190/55ZR17
STEERING HEAD ANGLE 25o
TRAIL 107 mm
WHEEL BASE 1440 mm
SEAT HEIGHT 835 mm
FUEL TANK CAPACITY 17 litres
KERB WEIGHT 208 kg

GALERI GAMBAR

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]