Zaqhwan kembali ke litar Cub Prix!

Zaqhwan Zaidi kembali merancakkan saingan Kejuaran Cub Prix Malaysia PETRONAS musim 2019 selepas namanya tersenarai dalam pasukan CP150 Idemitsu Honda Yuzy Racing.

Bekas juara kelas perdana CP130 2014 itu kembali ke litar Cub Prix tahun ini selepas membuat keputusan untuk memberikan tumpuan penuh terhadap Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) dan Kejuaraan Seluruh Jepun musim lalu.

Pelumba berusia 24 tahun itu turut akan digandingkan bersama pelumba muda berbakat, Azroy Hakeem Anuar dan juara WIRA 2015, Harith Farhan Baharin.

“Saya sudah bersedia dan tidak sabar untuk kembali ke litar Cub Prix. Banyak yang saya rindui di sini.

“Sepatutnya hujung tahun lalu lagi saya sudah kembali tetapi saya mengalami kecederaan (tangan) di Jepun dan Thailand. Jadi saya berharap dapat memberikan aksi terbaik di Jasin nanti,”katanya.

Bagaimanapun, Zaqhwan enggan berselindung bahawa dirinya masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan jentera Honda RS150R.

“Saya perlukan sedikit masa dengan jentera dan juga keadaan litar yang cukup teknikal. Kita tunggu dan lihat keputusan perlumbaan nanti,”tambahnya.

Untuk rekod, Zaqhwan dan Azory merupakan dua pelumba yang berjaya menghadiahkan podium buat kem Honda sejak saingan CP150 diperkenalkan pada musim 2017 dengan Zaqhwan menduduki tempat ketiga ketika saingan pembukaan tirai di Temerloh sementara Azroy juga menduduki kedudukan sama dalam pusingan kesembilan di Jempol, Negeri Sembilan musim lalu.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.