Valtteri Bottas berjaya mengatasi rakan sepasukan Mercedes dan pertahan juara, Lewis Hamilton dalam aksi pembukaan tirai Formula 1 di GP Australia.
Hamilton memulakan perlumbaan di petak pertama buat kali keenam berturut-turut di Melborne namun dipintas seawal selekoh pertama dan tidak mampu mengekori rapat Bottas yang kali terakhir muncul pemenang di GP Abu Dhabi 2017.
Max Verstappen berjaya memintas Sebastian Vettel di pusingan 31 dan seterusnya cuba memberi tekanan terhadap Hamilton sebelum terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga.
Kedua-dua pelumba Mercedes mengakui tidak menyangka akan mengetuai kedudukan pertama dan kedua di sepanjang perlumbaan apatah lagi dengan Bottas muncul pemenang.
Wakil Finland itu bijak menggunakan peluang terbuka dihadapannya sebelum menjarakkan diri daripada Hamilton dan Vettel sebaik penukaran tayar dilakukan.
Ketika Hamilton bergelut dengan tayar, Bottas – yang turut menerima mata bonus selepas mencatat masa terpantas – semakin menjarakkan diri dengan rakan sepasukannya itu.
Tatkala Hamilton sibuk menangani tekanan daripada Verstappen. Bottas melepasi garisan penamat sekaligus muncul pemenang.