BMW Malaysia diumumkan sebagai Rakan Automotif Rasmi bagi Kejohanan Maybank 2019 edisi keempat, hari ini.
Tanda jalinan kerjasama itu turut menyaksikan BMW menyerahkan segerombongan BMW 630i GT bagi kejohanan tersebut yang memegang status bertaraf dunia.
Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia, Sashi Ambi berkata BMW Group kekal komited dengan golf profesional apabila telah pun terlibat sama dalam sukan terbabit selama 30 tahun.
“BMW Group sering dikaitkan dengan acara golf profesional sejak lebih daripada tiga puluh tahun. Kami hadir ke kejohanan golf yang paling berprestij di dunia seperti Piala Ryder dan Omega European Masters. Baru-baru ini, BMW Group juga telah membuktikan komitmennya ke atas Jelajah Eropah sehingga tahun 2022 dengan memperbaharui statusnya sebagai Rakan Rasmi.
“Usaha sama kami dengan Kejohanan Maybank 2019 mencerminkan inisiatif global kami terhadap sukan tersebut,”jelasnya.
Komitmen ditonjolkan BMW terutamanya dalam sukan golf di Malaysia telah pun dibuktikan menerusi penganjuran Piala Antarbangsa Golf BMW 1989 di Malaysia.
Difahamkan, jentera BMW 6 Series GT tersebut akan bertindak sebagai kenderaan pengangkutan bagi pemain, pegawai pertandingan dan VVIP.
Selain itu, BMW turut mengambil peluang ini untuk mempersembahkan BMW X3 xDrive30i yang baharu di Saujana Golf & Country Club.
Kejohanan Maybank 2019 akan berlangsung pada 21 hingga 24 Mac ini.