Suzuki Terangkan Bantahan Mereka Terhadap ‘Winglet’ Ducati

‘Winglet tayar belakang Ducati – Sumber imej: Australian Motorcycle News
  • Empat buah pengeluar telah mengeluarkan bantahan terhadap Ducati kerana menggunakan ‘winglet’ tayar belakang sewaktu pusingan MotoGP Qatar.
  • Mereka berpendapat bahawa ianya menghasilkan ‘downforce’ untuk roda belakang.
  • Ducati tetap bertegas bahawa yang ianya adalah untuk menyejukkan tayar.

‘Isu’ bantahan empat buah pengeluar terhadap Ducati yang menggunakan ‘winglet’ pada tayar belakang sewaktu pusingan MotoGP Qatar 2019 telah menimbulkan pelbagai pendapat yang berbeza di ruangan komen alam maya sewaktu ianya didedahkan.

Kebanyakan daripada mereka yang membuat komentar mempunyai pandangan bahawa keempat-empat pasukan tersebut – Honda, Suzuki, Aprilia, dan KTM – berhasad dengki kerana bantahan itu dibuat setelah Ducati memenangi perlumbaan tersebut. Ada yang berkata, “Kalau Ducati tidak menang takdenya diorang nak komplen“. Sebahagian yang lain pula berpendapat bahawa kemajuan teknologi tidak sepatutnya dikekang dalam kejohanan MotoGP, yang mana merupakan lambang kemuncak teknologi motosikal.

Benarkan kami untuk jelaskan di sini; para pasukan tersebut telah menyuarakan pendapat mereka kepada FIM sebelum bermulanya perlumbaan, namun, mereka
hanya dibenarkan untuk membuat bantahan SELEPAS perlumbaan.

Tetapi, apa yang kecoh sangat tentang ‘winglet’ ini sebenarnya?

Ketua pasukan Suzuki Ecstar, Davide Brivio, menjelaskan, “Tahun lalu, ke semua pengeluar telah membincangkan isu mengenai aerodinamik, dan kami telah mencapai kata sepakat untuk menetapkan peraturannya, bagi menghadkan penambahbaikan tidak terkawal dalam kos kajian dan pembangunan dalam kawasan tersebut.”

Sewaktu perbincangan inilah FIM telah menetapkan peraturan untuk kelengkapan aerodinamik dan menghomologasikannya sebelum bermulanya musim tahun ini. Hanya satu perubahan yang dibenarkan bagi sepanjang musim. Tetapi, lebih utama lagi, jentera-jentera ini tidak boleh dipasang kelengkapan aerodinamik tambahan selain di kawasan yang telah ditetapkan bagi menghasilkan ‘downforce’.

Tetapi, menurut Davide, Ducati telah melanggar asas peraturan ini.

Davide Brivio. Sumber imej: A.Giberti/Ciamillo

“Beberapa minggu yang lalu, Ducati telah mempersembahkan kepada Pengarah Teknikal, Danny Aldridge, sebuah peralatan tambahan bagi lengan ayun dan pelitup roda hadapan, menerangkan yang tujuannya adalah untuk menyejukkan tayar,” terang Davide. “Pengarah Teknikal membenarkan penambahan peralatan tambahan ini kerana dia menganggapnya sebagai alat penyejuk tayar, dan mengeluarkan garis panduan baharu berkenaannya.”

Dua buah notis telah dihantar kepada para pengeluar pada 2 dan 5 haribulan Mac, namun, mereka masih meraguinya.

Para jurutera keempat-empat pengeluar berkenaan yakin bahawa ‘winglet’ berkenaan menyumbang kepada ‘downforce’ untuk lengan ayun, dan dengan itu memastikan tayar belakangnya kekal di atas permukaan litar. Dan oleh kerana itu, ianya menyalahi peraturan aerodinamik, terang ketua pasukan Suzuki itu lagi.

Keempat-empat ketua pasukan berkenaan telah bersemuka dengan Ducati sebelum perlumbaan. Brivio, bersama dengan Ketua Pegawai Eksekutif perlumbaan baharu Aprilia, Massimo Rivola, memberi amaran kepada pegawai atasan Ducati, Gigi Dall’Igna dan Paolo Ciabatti, bahawa mereka akan mengemukakan bantahan sekiranya pengeluar dari Itali berkenaan bertegas untuk menggunakan ‘winglet’ tersebut.

Gigi Dall’Igna. – Sumber imej: Insella.it

Amaran mereka itu tidak dihiraukan, dan Ducati telah memasang ‘winglet’ berkenaan pada jentera GP19 tunggangan Andrea Dovizioso, Danilo Petrucci, dan Jack Miller.

Jadi, keempat-empat pasukan tersebut telah mengemukakan bantahan selepas perlumbaan tetapi telah ditolak oleh Aldridge.

Kes ini akan dibawa ke Mahkamah Rayuan FIM. “Kami harap utuk mendapatkan penerangan yang jelas dari FIM, arahan teknikal, dan juga dari semua pihak berkuasa yang kompeten. Seperti mana yang telah saya katakan sebelum ini… bagi menjelaskan mengenai apa yang boleh dan tidak boleh kami lakukan.”

Bagi pihak Ducati pula, Gigi Dall’Igna telah berkata dalam satu temubual eksklusif bersama GPOne, “Sebarang cubaan untuk meningkatkan kestabilan pembrekan dengan daya yang dijana oleh peralatan berkenaan adalah satu percubaan yang tidak masuk dek akal.” Dia tetap menegaskan bahawa peralatan tersebut adalah untuk menyejukkan tayar, di mana suhu permukaan litar mungkin sekali sejuk, namun, tayarnya tetap mencapai suhu yang tinggi di Qatar.

Dia juga mengatakan bahawa Ducati akan memasang ‘winglet’ berkenaan sewaktu pusingan yang berikutnya di Argentina, bergantung pada keputusan mahkamah.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]