Shelby GT500 2020 – Mustang paling canggih dan berkuasa dalam sejarah?

Terdapat ramai peminat Ford Mustang di Malaysia dan juga seluruh dunia yang berminat dengan gabungan reka bentuk ikonik jentera ‘muscle car’ dan prestasi unggul dari Amerika Syarikat. Oleh kerana itu, ramai juga yang sedang menanti pelancaran Shelby GT500 2020 yang dikatakan model paling canggih dan berkuasa dalam sejarah.

Menurut mereka dari Ford Performance, model Shelby GT500 ‘High Performance’ telah melalui pelbagai proses kemajuan termasuk penggunaan teknologi supercomputer dan percetakan 3D dalam fasa ujian maya (virtual testing). Model yang boleh dibawa secara ‘halal’ diatas jalan raya telah banyak memberi fokus kepada bahagian penjanaan kuasa dan aerodinamik dari pakar-pakar.

Beratus-ratus reka bentuk berbeza telah diuji dengan teknologi supercomputer dan percetakan 3D secara digital dan juga fizikal. Melalui teknologi ini, mereka mampu menghasil sebuah jentera yang bukan sahaja berkuasa tinggi malah berprestasi hebat di dalam dan luar litar.

Menurut Matt Titus, jurutera kenderaan Ford Performance, “Kami mencipta dan mempelajari reka bentuk bersama pasukan kejuruteraan dan membuktikan strategi yang berbeza sebelum kami membina prototaip pertama. Bukan sahaja ini meningkatkan keberkesanan reka bentuk, ia secara dramatik mengurangkan masa yang diperlukan untuk membangunkan GT500 – dan kos yang berkaitan dengannya.”

Shelby Mustang GT500 2020 dikatakan akan menghasil kuasa lebih dari 700hp yang bukan sahaja memberi kuasa pecutan yang gila malah gabungan dengan pakej aerodinamik berteknologi tinggi akan menghasil sebuah Mustang yang sangat sesuai untuk dibawa secara maksimum di dalam litar.

“Pakej aero baru ini menggabungkan reka bentuk dan teknologi bahan terkini dengan ketukangan kepakaran lumba Ford untuk menghasilkan Mustang yang paling berkuasa,  seimbang dan konsisten – walaupun melalui trek lanjutan – yang berfungsi untuk memberikan keyakinan yang lebih menyeronokkan kepada pemandu,” kata Steve Thompson, jurutera dinamik kenderaan Ford Performance.

Shelby GT500 2020 akan mula dijual di pasaran US mulai musim panas tahun 2019.