- Harga bagi model Suzuki Katana 2019 telah didedahkan di UK.
- Model Katana yang asal telah merevolusikan reka bentuk motosikal.
- Persoalannya, bilakah ia akan tiba di Malaysia?
Suzuki Assamblers Malaysia (SAM) telah mengumumkan sebelum ini bahawa mereka akan membawa masuk model Suzuki Katana 2019, namun, buat masa ini, mereka masih belum menetapkan tarikh pelancaran atau mendedahkan harganya nanti.
Motosikal Katana ini merupakan salah sebuah model paling terkenal keluaran pengilang yang bertapak di Hamamatsu itu, di samping motosikal GSX-R dan RGV (sewaktu zaman kegemilangan motosikal dua lejang). Suzuki menyedari bahawa kebanyakan model keluaran mereka kurang mendapat sambutan para penggemar motosikal sejak beberapa tahun ini. Oleh kerana itu, kemunculan Katana ini sudah pasti membuatkan nama mereka kembali menjadi sebutan para peminat motosikal.
Motosikal Suzuki Katana yang asal, hasil rekaan Hans Muth, telah menggemparkan ramai penggemar sewaktu ianya diperkenalkan.Ada antara mereka yang menganggap reka bentuk motosikal ini terlalu berbeza dengan reka bentuk motosikal yang kontemporari. Namun kumpulan yang lebih besar, yang telah jatuh cinta dengan motosikal Katana itu, telah melaungkan cinta mereka dengan lebih lantang, dan dengan itu, menjadikan motosikal ini sebuah legenda.
Namun begitu, reka bentuknya itu tidak begitu diterima dengan baik oleh para peminat motosikal, begitu juga dengan para pereka bentuk motosikal. Bagaimana pun, sekiranya kita berada dalam sebuah dunia yang berbeza di mana motosikal Katana ini tidak pernah wujud, reka bentuk motosikal semasa sudah semesti amat berbeza sekali.
Dan itulah yang diharapkan oleh pengeluarnya. Mereka telah mempersembahkan motosikal yang dinamakan sempena pedang yang digunakan oleh Samurai dengan harapan untuk menarik minat mereka yang masih menaruh hati padanya, dan juga menarik minat generasi yang lebih muda.
Jadi, berapa harganya model Suzuki Katana 2019 ini di pasaran UK?
£11,399 (RM61,741.80). Harap-harapnya ianya lebih murah di pasaran Malaysia nanti!