Goodyear Hasilkan Tayar Khas Untuk Kereta Terbang

Menyambut baik rekaan kereta terbang yang disebut bakal tiba dalam masa akan datang, Goodyear memperkenalkan tayar konsep AERO – tayar dua dalam satu – yang direka khas untuk kereta terbang. Konsep terbaru ini dilaporkan akan bertindak sebagai tayar konvensional (di atas jalan raya) dan kipas (untuk penerbangan).

Ketua Pegawai Teknologi Goodyear, Chris Helsel berkata syarikat itu sememangnya obses dalam mengejar inovasi terbaru dalam bidang pengangkutan.

“Dengan pelbagai syarikat mobiliti melihat kereta terbang sebagai penyelesaian terhadap masalah kesesakkan jalan raya, kami bergerak ke arah itu dalam menghasilkan tayar yang mampu bertindak sebagai tayar konvensional dan sistem kipas untuk penerbangan,”katanya.

Tayar AERO memiliki beberapa ciri inovasi terbaru antaranya, reka bentuk ‘Mutimodal’; bertindak sebagai tayar apabila berada di atas jalan raya dan bertukar kepada sistem kipas untuk membantu dalam penerbangan. Dengan kenderaan yang sesuai AERO akan memastikan pertukaran daripada kereta biasa ke kereta terbang berjalan dengan lancar.

Lebih menarik, rim tayar AERO akan bertindak sebagai bilah kipas yang akan membantu dalam mengangkat kereta sebaik tayar dicondongkan. Tayar tanpa angin ini cukup fleksibel sehingga mampu menahan hentakan ketika di atas jalan raya sementara bertindak sebagai rotor untuk membantu dalam penerbangan.

Selain itu, AERO turut menggunakan daya magnetik untuk menghasilkan sistem penggerak tanpa geseran dan deria optik yang akan mengawasi keadaan keseluruhan tayar.

Bukan itu sahaja, AERO turut didatangkan dengan ‘Artificial Intelligence’ (AI) yang akan menyalurkan maklumat semasa pemanduan dan penerbangan.

Dalam perkembangan lain, Goodyear turut memperkenalkan tiga model tayar baharu, Goodyear Eagle F1 SuperSport, Eagle F1 SuperSport R dan Eagle F1 SuperSport RS.

Ketiga-tiga tayar terbabit memiliki ciri-ciri inovatif yang membantu dalam memperbaiki jarak membrek dan masa memandu tanpa mengetepikan pengalaman pemanduan.

Model Eagle F1 SuperSport menampilkan cengkaman mantap dan membantu dalam pengendalian. Tayar tersebut turut memastikan pertukaran arah perjalanan berlaku dalam keadaan terkawal sementara reka bentuk dibahagian bahu tayar membantu ketika memasuki selekoh. Meskipun direka untuk keadaan tayar yang kering namun kombinasi pelbagai kompaun memastikan tayar dapati menangani keadaan jalan yang basah.

Sementara itu, model Eagle F1 SuperSport R meningkatkan lagi daya cengkaman dan ketepatan pemanduan di atas dan di luar trek. Tahap cengkaman dipertingkatkan menerusi peggunaan kompaun tahan geseran yang akan membantu pemanduan terutamanya ketika melalui selekoh.

Model Eagle F1 SuperSport RS merupakan tayar yang dihasilkan istimewa untuk trek perlumbaan meskipun masih boleh digunakan di luar trek. Penggunaan kompaun khusus untuk perlumbaan memastikan cengkaman yang lebih hebat dan mengekalkan prestasi kekal tinggi dalam keadaan kering.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]