GP Qatar 2019: Lorenzo Gesa Perlumbaan Dimulakan Lebih Awal

Valentino Rossi, Marc Marquez, Andrea Dovizioso dan Maverick Vinales menyokong cadangan disuarakan Jorge Lorenzo agar menganjak waktu perlumbaan satu jam lebih awal.

Menurut laporan GPOne.com, perlumbaan dijadualkan bermula jam 8 malam (waktu tempatan) namun Lorenzo mencadangkan perlumbaan dimulakan lebih awal ekoran suhu litar jatuh mendadak sementara kadar kelembapan meningkat pada waktu itu sekaligus boleh menyebabkan kemalangan.

Hakikatnya itu yang berlaku ketika sesi ujian apabila ramai yang jatuh termasuk pelumba kelahiran Mallorca, Sepanyol itu.

Wakil Honda itu sempat menyampaikan cadangan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta yang kelihatan menerima baik cadangan tersebut.

Para pelumba bakal duduk bersama Suruhanjaya Keselamatan bagi membincangkan isu terbabit.

Dalam perkembangan lain, juara bertahan Marc Marquez menyifatkan siapakah yang bakal menjadi saingannya musim ini hanya akan dapat ditentukan selepas lima atau enam perlumbaan.

“Secara peribadi saya berasakan kedua-dua wakil Yamaha dan Ducati terutamanya Petrucci akan memberi saingan sengit. Alex Rins juga mencatat masa baik ketika sesi ujian. Tidak ketinggalan rakan sepasukan saya – Jorge Lorenzo,”ujarnya.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]