Selepas penilaian yang intensif berdasarkan persembahan keseluruhan, Sepang International Circuit (SIC) telah menamakan pelumba muda, Adam Khalid sebagai pilihan mereka untuk mewakili litar itu bersama pasukan Engstler dalam Siri TCR Asia.
Adam bakal menggantikan calon tahun lalu, Mitchell Cheah yang kini telah pun beralih untuk bertanding di TCR Jerman.
Pelumba berusia 21 tahun itu – yang beraksi di Siri Kejohanan Malaysia (MCS) dan 1000km Perlumbaan Endurance tahun lalu – mengetepikan tiga calon lain – Mark Darwin, Brendan Paul Anthony dan Ahmad Akid Azlee.
“Kami menempatkan empat pelumba bagi TCR Malaysia, yang berlangsung sebanyak tiga pusingan dengan misi untuk mencari seorang wakil ke TCR Asia dibawah Program Perkembangan Bakat SIC. Kami berbesar hati untuk memilih Adam Khalid sebagai calon tersebut. Kesemua empat calon merupakan pelumba berbakat jadi amat sukar untuk kami membuat keputusan ini. Pemilihan bukan sahaja berdasarkan persembahan mereka malah mengambil kira ketahanan fizikal dan sikap mereka.
“SIC berbesar hati dengan kerjasama diantara Engstler dan Adam Khalid dan kami tidak sabar untuk sama-sama mencapai kejayaan di TCR Asia. Selain itu, ini bukan pengakhiran buat Mark, Brendan dan Akid. Ada peluang lain yang menanti mereka dan kami berharap mereka akan terus berusaha untuk kedepan. Kami mendoakan kejayaan mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Dato’Razlan Razali.
Adam menyertai MCS pertengahan musim lalu bersama Pasukan Hirev Dream Chaser dan tidak menunggu masa lama untuk ketua pasukan, C.Y Ong meluahkan rasa kagum terhadap prestasinya.
Meskipun dianggap muka baharu dalam dunia permotoran, Adam dianggap sebagai seorang yang cepat belajar dan dia berjaya menguasai skil yang diperlukan untuk menyaingi pelumba lain.
Dua kali menamatkan saingan di kedudukan P2 dalam Pusingan 4 MCS dan kedua keseluruhan dalam S1K menempatkan dirinya dalam Program Pembanguan SIC sekaligus terpilih menyertai pasukan Engstler dalam TCR Asia.
Dedikasi serta etika kerja yang amat tinggi dibantu dengan sokongan CY dan Mitchell, Adam dinamakan sebagai calon terbaik.
Tidak dapat menyembunyikan keterujaan, Adam tidak sabar untuk beraksi.
“Terpilih sebagai Pemandu Pembangunan Bakat SIC bagi tahun 2019 adalah batu loncatan yang amat besar dalam karier saya dan saya amat berterima kasih kepada mereka atas peluang besar ini. Saya akan berikan yang terbaik. Bukan mudah untuk mendapat peluang untuk berkerjasama di bawah pasukan berprestij seperti Engstler sementara di sokong SIC.
“Dalam jangka masa pendek, pasukan baru saya telah memberikan sokongan daripada segala aspek dan saya dapat berasakan kehadiran saya diterima pasukan sehingga saya berjaya menaiki podium dalam aksi sulung. Bagaimanapun, masih banyak yang saya perlu pelajari dalam TCR dan saya yakin jalinan di antara Engstler dan SIC adalah kombinasi yang terbaik,” ujar Adam.