Helmet HJC RPHA 11 Venom 2 Diperkenalkan

  • Rekaan helmet HJC RPHA 11 Venom 2 telah diperkenalkan bagi tahun 2019.
  • Rekaan baharu ini tampak lebih ganas dan mengancam.
  • Helmet RPHA 11 adalah model utama dalam rangkaian helmet HJC.

Helmet HJC RPHA 11 Venom 2 telah diperkenalkan untuk tahun 2019, susulan kepada helmet RPHA 11 Venom pertama yang popular.

Helmet Venom yang pertama telah membuat kemunculan pertamanya bersama dengan helmet RPHA 11 Spider-Man pada tahun 2016. Setiap unit rekaan helmet yang sebelum ini telah pun dijual buat mereka yang menggunakannya setiap hari dan juga para pengumpul – tidak kiralah berapa harganya. Pengedar HJC di seluruh dunia sering kali kehabisan stoknya.

HJC RPHA 11 Venom

Bagaimana pun, segarang mana helmet tersebut, HJC rasa yang rekaannya itu boleh menjadi lebih agresif. Dengan itu, HJC telah meneruskan usaha mereka bersama Starlite yang telah mereka bentuk helmet Venom yang pertama. Starlite juga turut bertanggungjawab ke atas rekaan dan kemasan warna helmet buat beberapa orang bintang MotoGP. Mereka inginkan sesuatu yang lebih garang, lebih jahat dan hasilnya adalah helmet Venom 2 ini.

Rekaan baharu ini dijangka akan mula dijual di pasaran Amerika Syarikat pada musim bunga ini. HJC Malaysia telah mengkhabarkan kepada kami mengenai helmet ini, menandakan yang ianya akan tiba di tanah air kita dalam masa yang terdekat ini.

HJC RPHA 11 Venom

Kerjasama HJC-Marvel ini adalah satu usahasama yang cukup menguntungkan setakat ini, menampilkan reka bentuk wira kegemaran kita seperti Spider-Man, Ironman dan Black Panther, di samping watak anti-hero seperti Venom dan Deadpool.

Pengeluar helmet ini juga turut menjalinkan kerjasama dengan Disney bagi menghasilkan reka bentuk dari dunia Star Wars. Kita telah pun disajikan dengan rekaan helmet Klyo Ren, Stormtrooper, juruterbang pesawat pejuang Rebel Alliance, dan juga Darth Vader.

Helmet HJC RPHA 11 merupakan model utama dan rangkaian premium pengeluar dari Korea Selatan tersebut. Helmet ini adalah untuk perlumbaan dengan tempurungnya yang aerodinamik. Tempurungnya itu dihasilkan dengan bahan yang digelar oleh HJC sebagai “Premium Integrated Matrix” yang menggabungkan karbon fiber dan sulaman Kevlar. Ini menjadikan helmet ini ringan dan senyap walaupun pada kelajuan tinggi.

Kami akan maklumkan kepada anda harganya sebaik sahaja ianya tiba nanti.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.