Video Marc Marquez Hasilkan Muzik Menggunakan Honda X-ADV

  • Sebuah video menampilkan proses dan hasil kerjasama antara Marc Marquez, DJ Roger Wid, dan sebuah motosikal Honda X-ADV dalam menghasilkan sebuah lagu.
  • Marquez menghasilkan sampel bunyi menggunakan sebuah motosikal X-ADV dan ianya diadun oleh DJ Roger Wid.
  • Model Honda X-ADV telah menjadi motosikal paling laris di Eropah.

Sejurus selepas Suzuki memuat naik video yang menunjukkan bekas penunggang MotoGP, Nobuatsu Aoki menunggang motosikal Suzuki Katana yang baharu, tiba giliran Honda bersama juara dunia MotoGP, Marc Marquez untuk memperagakan motosikal Honda X-ADV. Dan video ini bukan sekadar video penunggangan yang biasa-biasa. Marquez telah menggunakan motosikal X-ADV tersebut untuk menghasilkan sampel bunyi yang kemudiannya telah diadun oleh DJ Roger Wid menjadi sebuah lagu.

Setiap pergerakan Marquez telah dirakam dan diadun menjadi muzik, antaranya mengancing jaketnya, membuka kunci motosikal berkenaan, membuka pelana bagi mendapatkan helmet Shoei-nya yang cukup dikenali itu, dan mengangkat tempat letak kaki pembonceng.

Marquez kemudiannya telah melakukan aksi ‘rolling burnout’ yang berasap dan motosikal itu berputar di sekelilingnya, manakala juruteknik bunyi memegang mikrofon dekat dengan aksi berkenaan bagi merakamkan bunyinya.

Akhir sekali, ke semua bunyi yang biasa kita dengar saban hari itu kemudiannya diadun oleh DJ Roger Wid menjadi rentak muzik tekno.

Motosikal X-ADV dijana oleh enjin dwi silinder, 745cc, yang juga digunakan oleh motosikal Honda NC750X. Bagaimana pun, model X-ADV ini menggunakan transmisi “Dual Clutch Transmission” (DCT) milik Honda. DCT adalah sebuah sistem kotak gear manual tanpa tuil klac.

Kami telah menunggang uji motosikal ini beberapa bulan yang lalu dan mendapati yang ianya cukup menyeronokkan, walaupun harganya agak mahal. Di sini kami ingin berkongsi satu fakta menarik mengenainya; model Honda X-ADV ini telah menjadi motosikal paling laris di Eropah, mengatasi BMW R 1200 GS.

Sumber: A Ride Apart

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]