Pusat Latihan Ducati Asia Pacific Training Centre Dibuka

  • Ducati telah membuka sebuah fasiliti latihan yang canggih di kilangnya di Rayong, Thailand.
  • Bergelar Ducati Asia Pacific Training Centre, ia akan menganjurkan sejumlah besar program latihan.
  • Program ini akan mempertingkatkan lagi pengalaman pengguna dan membolehkan mereka menyelami dunia Ducati.

Ducati telah membuka pusat latihan yang baharu dan canggih mereka di kilang Ducati di Rayong, Thailand.

Pengeluar dari Itali itu berharap dapat mempertingkatkan lagi tahap pengalaman pengguna dalam setiap aspek dalam rangkaian pengedar mereka di rantau Asia Pasifik. Mulai sekarang, sebarang latihan jenama, kursus DRE (Ducati Riding Experience) serta latihan teknikal akan dijalankan di pusat latihan Ducati Asia Pacific Training Centre ini.

Dominique Cheraki (Pengarah Pasaran Asia Ducati), berkata, “Program latihan terbaik dunia tiada gunanya sekiranya kita tidak mempunyai kesungguhan untuk melaksanakannya dengan sempurna, konsisten, dan secara intensif. Pusat latihan baharu kami ini dilengkapi dengan fasiliti tercanggih yang membolehkan kami untuk melaksanakan latihan teknikal dan jenama yang berkesan kepada semua orang dari keseluruhan rangkaian pengedar Ducati Asia Pasifik.”

Ducati APAC telah memulakan “Genius Program” pada tahun lalu sebagai sebahagian daripada matlamat ini yang telah dimulakan sejak tahun 2016. Program ini terdiri daripada beberapa buah kursus dan latihan yang bukan sahaja mengesahkan kemahiran dan pengetahuan juruteknik Ducati, tetapi ia juga membuka haluan kerjaya kepada mereka berdasarkan tahap kemahiran berbeza dan sijil yang telah mereka perolehi.

Ducati APAC Training Centre juga akan menganjurkan latihan jenama bagi meningkatkan lagi pengalaman pengguna dengan produk Ducati, di samping memperkenalkan mereka kepada dunia Ducati yang terdiri daripada pencapaian semasa dan masa lampau pengeluar berkenaan dalam perlumbaan motosikal, komuniti atas dan luar talian, serta penghayatan gaya hidup jenama berkenaan.

Pengarah Urusan Ducati Motor Thailand, Alberto Strada, berkata, “Dengan adanya fasiliti serba baharu ini, Ducati Motor Thailand menjadi hab Ducati yang lebih baik untuk rantau Asia Pasifik. Ditubuhkan pada tahun 2010 sebagai kilang pengeluaran untuk negara-negara ASEAN, fasiliti di Thailand ini telah menjadi tuan rumah bagi jabatan Jualan, Pemasaran, dan Selepas Jualan sejak tahun 2011 dan kini kami berbesar hati menjadi tuan rumah bagi Ducati Asia Pacific Training Centre, satu pencapaian tambahan dalam usaha membangunkan dan memperkukuhkan jenama Ducati di seluruh rantau ini.”

Ducati APAC Training Center, yang telah mendapat manfaat “Board of Investment”, meliputi kawasan melebihi 200 meter per segi, yang diperolehi dengan atur cara modularnya, boleh menganjurkan beberapa buah sesi latihan pada satu-satu masa. Selain itu, dengan adanya teknologi ‘augmented reality’, enjin latihan dan bengkel latihan, lebih daripada 230 orang juruteknik dan 100 orang kakitangan wakil pengedar akan dapat menyediakan kepada para pelanggan Ducati dengan pengalaman 360 darjah di seluruh rantau ini pada tahun 2019.

“Ducati terus mempertingkatkan tanda aras dalam tahap kecanggihan produknya dan ianya penting bagi kami untuk memastikan yang jaringan pengedar kami senantiasa bersedia dan dikemaskini dari segi teknikal bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan kami. Selain itu, kami tidak lupa juga mengenai motosikal para pelanggan kami dan atas sebab itu kami turut memiliki 14 buah enjin latihan yang kami gunakan bagi melatih rangkaian pengedar kami berkenaan dengan setiap model Ducati, bermula dari tahun 1980 hingga sekarang,” ujar Luca Stasi, Pengarah Jabatan Selepas Jualan.

Operasi fasiliti telah pun bermula dan kumpulan kakitangan Ducati dari Thailand, India, China, Korea Selatan, dan lain-lain telah dijadualkan untuk menggunakan fasiliti yang canggih ini pada minggu-minggu yang akan datang.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]