- Bekas penunggang MotoGP, Alvaro Bautista tampil terpantas di atas motosikal Ducati Panigale V4 R pada hari pertama ujian pra musim terakhir WorldSBK 2019.
- Jentera Ducati tunggangan Bautista adalah salah satu daripada empat pengeluar yang berbeza dalam kedudukan Lima Teratas.
- Sesi ujian akan diteruskan esok.
Penunggang baharu bagi pasukan pengilang Ducati, Alvaro Bautista telah mendominasi hari pertama ujian pra musim terakhir di Litar Phillip Island, sebelum berlangsungnya pusingan pembukaan kejohanan WorldSBK musim 2019.
Mengemudi jentera Ducati Panigale V4 R yang baharu, Bautista adalah satu-satunya penunggang yang berjaya mencatatkan masa di bawah 1 minit 30.743 saat. Bautista berjaya memperoleh catatan masa kelima terpantas di Jerez pada bulan November lalu. Penunggang kelahiran Sepanyol itu, bersama Gigi Dall’Igna telah menyatakan sebelum ini bahawa jentera Panigale V4 R ini masih terlalu awal untuk dijangka tahap kebolehannya namun keputusan ini sudah pasti satu petanda yang menggalakkan dalam usaha mereka untuk merampas kembali kejuaraan WorldSBK yang pernah dipegang Ducati.
Dan ini bukan satu-satunya berita hebat yang ada pada hari pertama ini. Kedudukan Lima teratas telah diisi oleh empat buah pengeluar yang berbeza. Alex Lowes telah berjaya mengemudi jentera Yamaha YZF-R1 baharu menduduki tempat kedua terpantas dengan catatan masa 1 minit 31.146 saat.
Juara dunia WorldSBK empat kali, Jonathan Rea berjaya mencatatkan masa ketiga terpantas di atas motosikal Kawasaki Ninja ZX-10RR baharu, sedikit di belakang Lowes dengan catatan masa 1:31.189. Rea telah mengejutkan semua sewaktu ujian di Jerez apabila dia mencatatkan masa yang satu saat lebih pantas berbanding pesaing terdekatnya.
Bekas teman sepasukan Rea dan juga merupakan bekas juara dunia, Tom Sykes, telah berjaya mengemudi motosikal BMW S 1000 RR baharu bagi mencatatkan masa keempat terpantas dengan catatan 1:31.300.
Kelima terpantas adalah teman sepasukan baharu Rea, Leon Haslam, yang berjaya mencatatkan masa terpantasnya, 1:31.999.
Kebanyakan peminat dan penggemar siri kejohanan ini mengharapkan saingan yang lebih sengit pada tahun ini, setelah dominasi Rea semenjak dua musim yang lalu. Nampaknya hajat mereka bakal ditunaikan sekiranya keadaannya sama seperti hari ini, dan Rea pasti akan berdepan dengan cabaran yang hebat bagi menangkis serangan daripada tiga pengeluar yang lain itu.
Sesi ujian akan diteruskan esok.