Cara Unik Seorang Pegawai Polis Trafik Delhi Berikan Kesedaran Kepada Pesalah Trafik

  • Seorang pegawai polis trafik Delhi telah mengambil pendekatan yang unik dengan memegang cermin di hadapan pesalah trafik.
  • Langkah ini diambil bagi menggalakkan pesalah untuk memakai helmet sewaktu menunggang motosikal.
  • Menurut pegawai berkenaan, langkah ini berkesan setakat ini.

Seorang pegawai polis trafik Delhi telah mengambil langkah unik memegang cermin di hadapan pesalah trafik supaya mereka merenung diri sendiri dan kesalahan yang telah mereka lakukan.

Sebelum ini, pegawai berkenaan, Sandeep Shahi, telah memberikan helmet percuma kepada penunggang motosikal yang menunggang tanpa helmet. Namun, masih banyak antara mereka yang masih menunggang tanpa helmet walaupun ianya menyalahi undang-undang, berdepan risiko didenda INR 1,000 dan juga memperjudikan nyawa mereka. Kerap kali dapat dilihat para penunggang motosikal menyelusuri trafik pada kelajuan tinggi tanpa memakai helmet, di samping membawa tiga orang pembonceng. Pembonceng mereka juga sering kali dilihat tanpa helmet.

“Saya telah membonceng motosikal pada suatu hari tanpa memakai helmet dan ternampak diri sendiri dalam cermin. Saya berasa malu. Tetapi pada masa yang sama, saya merasakan yang ianya cara yang baik untuk meningkatkan kesedaran. Cermin tidak pernah menipu.” ujar Shahi kepada AFP.

Dia mengatakan bahawa langkah ini berkesan setakat ini. Penunggang yang bersalah akan meminat maaf dan berjanji untuk memakai helmet mereka selepas itu.

“Saya turut mempunyai slaid tentang keselamatan jalan raya yang telah saya tunjukkan pada pengguna jalan raya. Namun ianya lebih mudah untuk menggunakan cermin.”

Laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) 2018 menunjukkan sebanyak 150,785 kematian di India adalah akibat kemalangan jalan raya, menjadikannya jumlah yang terbesar dari segi bilangan dalam dunia. Jumlah ini bersamaan dengan kadar 22.6 kematian bagi setiap 100,000 orang.

Sumber: The Express Tribute, imej diambil dari sumber asalnya di sini : https://tribune.com.pk/story/1912065/3-delhi-policeman-holds-mirror-motorbike-law-breakers/?amp=1

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.