- Pasukan Kawasaki Racing Team WorldSBK telah memperkenalkan barisan penunggang mereka bagi tahun 2019 untuk kejohanan World Superbike Championship.
- Barisan penunggangnya terdiri daripada juara empat kali, Jonathan Rea dan penunggang baharu, Leon Haslam.
- Musim baharu akan bermula pada minggu hadapan di Phillip Island, Australia.
Pasukan Kawasaki Racing Team WorldSBK telah memperkenalkan barisan penunggang dan jentera mereka dalam usaha mereka bagi mengekalkan dominasi mereka dalam kejohanan Wold Superbike Championship 2019.
Juara empat kali dan juga juara bertahan WorldSBK, Jonathan Rea, bersama dengan penunggang baharu mereka, Leon Haslam telah memperkenalkan jentera Kawasaki Ninja ZX-10RR 2019 di sebuah pusat peranginan tidak jauh dari Litar Grand Prix Phillip Island di Australia.
Litar ini akan menjadi tuan rumah bagi pusingan akhir sesi ujian pra musim dan juga pusingan pembukaan bagi kejohanan 2019. Sesi ujian akan diadakan pada hari Isnin dan Selasa yang akan datang, manakala pusingan pembukaan akan bermula pada hujung minggu yang akan datang.
Masih segar lagi dalam ingatan kita mengenai bagaimana Rea telah mendominasi keseluruhan grid WorldSBK pada tahun lalu di atas jentera Kawasakinya. Daripada 25 buah perlumbaan, dia telah memenangi 17, mendapat tempat kedua sebanyak empat kali, tempat ketiga sekali, dan tempat kelima sekali. Hanya sekali sahaja dia tidak dapat menamatkan perlumbaan sepanjang musim lalu, manakala Perlumbaan 2 yang terakhir di Qatar telah dibatalkan.
Walaupun berdepan dengan cabaran hebat dari pesaing sengitnya, Chaz Davies dari Ducati dan Michael van der Mark dari Yamaha, Rea berjaya mengatasi mereka.
Jadi, apakah rahsia kehebatannya?
“Apa yang telah saya pelajari daripada pengalaman saya sejak bertahun lamanya adalah untuk kekal bertenang dan menumpukan perhatian pada pasukan saya. Kami memiliki kru terbaik dalam kejohanan, jentera terbaik yang menjadi tunggangan saya. Saya rasakan tekanannya pada diri saya, dan saya perlu mencari jalan mengatasinya dengan motosikal saya. Sebaik sahaja kami berjaya melakukannya pada tahun lalu, kami cukup sukar untuk dikalahkan,” jelas Rea.
Leon Haslam kembali berlumba sepenuh masa dalam kejohanan WorldSBK sejak tahun 2015. Anak kepada penunggang ternama Ron Haslam, dia telah membuktikan yang kelajuan telah sebati dalam dirinya.
“Saya terasa bagaikan bermimpi. Sembilan tahun saya berkecimpung dalam WorldSBK tetapi tidak pernah saya mendapat peluang seperti ini. Untuk bersama dengan KRT, Kawasaki, menyertai pasukan yang telah mendominasi kejohanan sejak empat tahun yang lalu… Saya tidak sabar lagi, saya mahu berlumba sekarang,” ujar Leon.
Pastikan anda teruskan bersama kami bagi mengetahui perkembangan terkini dalam kejohanan perlumbaan motosikal pengeluaran ulung dunia.