- Karnival Gempak Santai Modenas telah menyaksikan penyertaan seramai 600 orang pemilik motosikal Modenas.
- Pesta ini telah diadakan di Dataran Pantai Morib di Banting, Selangor.
- Modenas telah menganjurkan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan buat para hadirin.
Karnival Gempak Santai Modenas telah menyaksikan kehadiran sejumlah besar pengunjung pada hari ini.
Pesta ini telah berlangsung dengan berlatarbelakangkan pesisiran pantai di Dataran Pantai Morib, Banting, Selangor, bagi meraikan para pemilik motosikal Modenas.
Para peserta telah hadir dengan lebih kurang 600 buah motosikal Modenas dari pelbagai model termasuklah model semasa Dominar 400, Pulsar RS200, Pulsar NS200, skuter Elegan 250, motosikal cruiser Jaguh, dan pelbagai varian model Kriss dan Dinamik. Jumlah ini tidak termasuk para pemilik motosikal yang hadir dengan motosikalj enama-jenama yang lain.
https://www.facebook.com/BikesRepublic/videos/373185103412656/
Sesuai dengan nama karnival ini, suasana acara ini amat santai sekali. Para penunggang, rakan taulan dan pasangan menikmati keseronokan bermain di pantai, menjamu selera di gerai-gerai yang disediakan mahu pun di gerai cenderahati yang ada, di samping menanti cabutan bertuah.
Modenas telah menganjurkan pelbagai aktiviti. Antaranya adalah pertunjukan Autoshow, Demonstrasi Cub Prix, Cabutan Bertuah, pertandingan di antara kelab-kelab motosikal Modenas, Klinik Penunggangan dengan Selamat, Kempen Penyelenggaraan, Tunggang Uji, Karaoke, peragaan model baharu, gerai yang menjual barangan yang berkaitan motosikal, dan bermacam-macam lagi.
Turut menjadi tumpuan sewaktu karnival adalah Kempen Penyelenggaraan. Para pemilik Modenas telah mengambil peluang ini untuk mendapatkan khidmat penyelenggaraan atau menyelesaikan sebarang isu yang ada. Kempen ini cukup besar sambutannya sehinggakan ada sebahagian daripada aktivitinya perlu dijalankan di luar khemah.
Cabutan bertuah telah dijalankan sepanjang hari di mana pemenang hadiah utama cabutan bertuah ini – motosikal VT15 yang telah diubah suai – telah diumumkan pada penghujung hari. Para pemenang bertuah membawa pulang hamper dan produk dari para penaja.
GIVI menunjukkan sokongan terhadap karnival ini dengan menghadirinya dengan bas ‘transformer’ mereka, manakala Red Bull telah menjual minuman pada harga yang istimewa.
Karnival Gempak Santai Modenas ini telah ditaja oleh GIVI, Red Bull, Racing Boy, MotoNation, dan Samurai 2K.
GALERI GAMBAR