Valentino Rossi Sambut Ulang Tahun Kelahiran Ke-40 Hari Ini

Rossi Hood, GP British, 1997

  • Valentino Rossi telah mencecah usia 40 tahun pada hari ini.
  • Sepanjang kerjaya perlumbaannya, juara dunia sembilan kali ini telah menggondoli kejuaraan 125cc, 250cc, 500cc, dan berbilang takhta MotoGP.
  • Ayahnya, Graziano, menyatakan yang Rossi boleh berlumba sehingga dia berusia 46 tahun jika dia mahu.

Juara Dunia sembilan kali, Valentino Rossi menyambut ulang tahun kelahiran ke-40nya pada hari ini.

Sepanjang kerjaya perlumbaannya, Rossi telah memenangi kejuaraan 125cc, 250cc, 500cc, dan berbilang takhta MotoGP. Kerjaya perlumbaan Rossi di peringkat dunia kini telah mencapai tempoh 22 tahun, bermula dari tahun 1997.

Rossi Hood, GP British, 1997

Kami masih ingat lagi sewaktu Rossi masih lagi seorang budak hingusan yang panjang galah dan berjiwa kental yang terlalu panjang badannya untuk muat di atas jentera Aprilia RS125 dan RS250 tunggangannya, memaksa dirinya untuk mengangkat punggungnya melebihi bonggol pelana belakang sewaktu dia cuba untuk merapatkan badan ke atas tangki bahanapi ketika berada di laluan lurus.

Pada ketika ini, kita masih boleh melihat Rossi mengenakan sut perlumbaan yang penuh dengan warna kuning fluoresen. Pengulas MotoGP, Julian Ryder, pernah memanggil Rossi sebagai ‘pen penyerlah’. Sifat yang ranggi ini adalah tanda pengenalannya, perwatakan yang sebati dengan Rossi.

Rossi masih mempamerkan sifat yang ceria ini sewaktu sidang akhbar dan perjumpaan awam. Namun di sebalik sikapnya yang periang itu adalah seorang lelaki yang memiliki satu azam yang membara: Menang. Dan demi memenuhi azamnya itu, dia sanggup ‘menguis’ ke tepi penunggang lain yang menghalang laluannya. Tanya sahajalah Sete Gibernau, Casey Stoner, dan lain-lain.

Permainan minda adalah kelebihannya, tetapi, ramai yang mengatakan dia telah mengurangkan permainannya dengan usianya yang semakin meningkat. Namun begitu, ianya tidak bermakna yang Rossi takut untuk meluahkan kebenaran, termasuklah mengkritik pasukannya, Yamaha, atas prestasi yang kurang memberangsangkan sejak dua tahun yang lalu. Dia masih lagi menggunakan sidang akhbar sebagai gelanggang untuk membakar pesaingnya, dengan senyuman di bibirnya, sebelum memberikan jawapan yang diplomatik. Pada suatu masa dahulu, kita boleh lihat bagaimana perang psikologi yang dilaksanakan oleh Rossi telah memberikan kesan kepada pesaingnya, paling ketara pada penunggang Itali, Max Biaggi. Ke mana sahaja Rossi pergi, kontroversi pasti mengekorinya dan dia amat menyukainya.

Rossi turut memperolehi pelbagai nama timangan sepanjang kerjayanya, dan yang terkini adalah “GOAT”, bagi “Greatest of all Time”.

Sikapnya yang ingkar dan tidak mengikut norma keadaan telah membuatkannya popular di kalangan peminat di seluruh dunia. Malah, sekiranya dia bertanding untuk menjadi “Presiden Dunia”, sudah pasti dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk memenanginya.

Dominasinya sewaktu tahun-tahun awal MotoGP mungkin tampak membawa kesan yang buruk bagi sesetengah pihak, tetapi, sejujurnya, ia telah memacu para pengeluar yang lain untuk bertungkus-lumus bagi mencari penyelesaian untuk menamatkan dominasinya itu, yang mana secara tidak langsungnya telah membangunkan pelbagai teknologi baharu. Ironinya, dominasi Rossi berakhir apabila dia berpindah ke pengeluar yang lain. Masanya bersama Ducati telah dianggap sebagai satu lohong hitam dalam kerjayanya.

Ramai pengikut tegar sukan permotoran ini kini merasakan yang dia ‘terlalu tua’ untuk bersaing dalam kancah MotoGP yang amat berdaya saing ini. Tetapi, sejujurnya, perlumbaan ini pasti kurang berseri tanpa kehadiran Rossi.

Selamat Hari Lahir Rossi. Seperti mana yang telah disebut oleh ayah anda, kami harap awak akan terus berlumba dan memperolehi kemenangan pada masa yang akan datang.

Rossi di Ujian Pra Musim 2019 Sepang – Sumber imej: MotoGP.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.