PETRONAS Sprinta Racing Team (SRT) Mulakan Ujian Pra Musim Mereka

Khairul Idham Pawi yang sedang menguji jentera Moto2 yang baharu – Sumber imej: PETRONAS Sprinta Racing Team
  • Pasukan PETRONAS Sprinta Racing Team bagi kelas Moto3 dan Moto2 telah menjalankan ujian pra musim persendirian mereka.
  • Ujian ini telah mengambil tempat di litar halaman pasukan berkenaan, iaitu Litar Antarabangsa Sepang.
  • Ujian ini telah diadakan sebelum bermulanya ujian pra musim Moto3 dan Moto2 rasmi di Jerez.

Pasukan PETRONAS Sprinta Racing Team bagi kelas Moto3 dan Moto2 telah turun ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam satu ujian pra musim persendirian bermula dari 11 Februari. SIC merupakan litar halaman bagi pasukan berkenaan.

Penunggang-penunggang bagi pasukan ini terdiri daripada Khairul Idham Pawi bagi kategori Moto2, dan Ayumu Sasaki bersama dengan John McPhee bagi kelas Moto3.

Sesi ujian mereka ini menyusuli ujian rasmi MotoGP yang ketiga yang telah berlangsung dari 6 hingga 8 Februari lalu. Penunggang bagi pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo telah menguji jentera Yamaha YZF-M1 mereka dalam persiapan bagi menghadapi musim yang akan datang. Pengeluar Yamaha kemudiannya telah mengumumkan pada 7 Februari bahawa Quartararo juga akan menunggang jentera Yamaha YZF-M1 2019 yang sama seperti teman sepasukannya Morbidelli, dan juga para penunggang pasukan pengilang Yamaha.

Franco Morbidelli sewaktu ujian pra musim 2019 Sepang – Sumber imej: MotoGP.com

Khairul Idham Pawi #89 – Moto2

Khairul Idham Pawi bersama dengan krunya telah meneruskan usaha mereka ke atas jentera Kalex baharu yang telah dijana oleh enjin tiga silinder Triumph yang baharu. Ujian ini akan membolehkan Pawi untuk membiasakan diri dengan jentera berkenaan. Dia juga telah memperbaiki rentaknya pada penghujung hari.

Khairul Idham Pawi yang sedang menguji jentera Moto2 yang baharu

Tumpuan ujian ini pada awalnya adalah kepada enjin baharu berkenaan, sebelum berpindah ke casis, geometri dan atur cara suspensi.

Ayumu Sasaki #71 dan John McPhee #17 – Moto3

Gandingan Sasaki dan McPhee telah memberikan perhatian mereka dalam usaha untuk mendapatkan atur cara asas motosikal yang paling optimum pada jentera Honda 2019 yang baharu. Usaha tesebut bertumpu kepada mempelajari tentang enjin, casis, dan geometri casis.

John McPhee yang sedang menguji jentera Moto3 baharu – Sumber imej: PETRONAS Sprinta Racing Team

Kedua-dua orang penunggang ini telah menyempurnakan sejumlah besar pusingan bagi memperolehi data yang diperlukan. Sasaki telah menyempurnakan 51 pusingan manakala McPhee menyempurnakan 38 lagi pusingan.

Ujian Yang Berikutnya

Sesi ujian akan diteruskan pada hari ini dan juga esok. Kedua-dua pasukan Moto3 dan Moto2 kemudiannya akan menuju ke ujian rasmi mereka di Jerez, Sepanyol, bermula 20 Februari dan di Losail, bermula 1 Mac. Bagi pasukan MotoGP pula, sesi ujian pra musim rasmi terakhir akan bermula dari 23 Februari. MotoGP musim 2019 akan bermula di Qatar pada 10 Mac 2019.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.