Cabaran BMW Motorrad International GS Trophy 2020 akan mengambil tempat di “Middle Earth”; New Zealand.
Acara ini terbuka buat semua pemilik motosikal BMW dari seluruh dunia
Nantikan kemunculan pusingan kelayakan Malaysia!
Cabaran BMW Motorrad International GS Trophy akan dilangsungkan di New Zealand, yang juga merupakan lokasi penggambaran filem terkenal “Lord of the Rings”.
Acara ini saban tahun telah bertambah prestijnya dan meningkat penyertaannya sejak ianya mula diperkenalkan. Bermula pada tahun 2008 di Tunisia, ianya diadakan dua tahun sekali dan semenjak itu telah diadakan di serata lokasi pengembaraan terkemuka dunia seperti Afrika Selatan, Patagonia, Kanada, Thailand, dan juga yang terkini di Mongolia.
Ianya terbuka kepada para pemilik motosikal BMW di seluruh dunia. Setiap negara yang menyertai pertandingan ini akan mengadakan pusingan kelayakan mereka sendiri bagi memilih wakil mereka sebelum bermulanya acara antarabangsa ini. Peserta dari Malaysia telah pun menyertai dua edisi yang terdahulu sebagai sebahagian daripada Pasukan Asia Tenggara dan Pasukan Asia Tenggara Wanita. Setiap pasukan terdiri daripada 3 peserta. Peserta yang telah menyertai pertandingan International GS Trophy yang sebelum ini tidak dibenarkan untuk kembali menyertai cabaran ini. Namun, mereka dialukan untuk melatih wakil negara masing-masing.
Diilhamkan daripada pengalaman Naib Presiden Jualan & Pemasaran BMW Motorrad, Heiner Faust, sewaktu satu ekspedisi penunggangan di Asia Tengah, cabaran ini bukannya mengenai siapa yang terpantas. Sebaliknya para peserta perlu mempunyai kemahiran dan kepintaran, di samping tahap kerjasama tinggi.
Falsafah itu dapat dilihat pada pelbagai jenis cabaran yang dihadapi oleh peserta. Ini termasuklah mengeluarkan motosikal dari parit, menampal tiub tayar yang bocor, menunggang motosikal menangani muka bumi dan situasi yang mencabar, dan bermacam-macam lagi. Selain itu, mereka perlu menjawab soalan berkenaan geografi dan navigasi, dan menguji pengetahuan mengenai motosikal GS mereka.
Akan ada sejumlah 19 buah pasukan yang akan menyahut cabaran pada tahun 2020, mewakili 30 buah negara. Turut menyertai cabaran ini adalah sebuah pasukan wanita antarabangsa.
BMW Motorrad belum memaklumkan sama ada para pasukan akan terus bersaing menggunakan motosikal R 1200 GS atau beralih ke model R 1250 GS yang baharu. Bagaimana pun, andaian kami adalah mereka akan kekal dengan model R 1200 GS dan ianya pasti cukup mengujakan menyaksikannya menghadapi ujian yang sukar sewaktu acara ini.
Sila layari https://www.brand.bmw-motorrad.com/en/experience/stories/adventure/int-gs-trophy-2020.html untuk mendapatkan maklumat selanjutnya.