Polis Berjaya Menahan Penunggang Motosikal Singapura Dengan Nombor Plet Yang Ditutup Dengan Pita Pelekat

  • Polis Diraja Malaysia telah berjaya menahan penunggang motosikal Singapura dengan nombor plet yang ditutup dengan pita pelekat.
  • Berita ini telah disahkan oleh Ketua Polis Negara Malaysia.
  • Mereka telah pun membayar saman yang dikenakan.

PDRM telah berjaya menahan penunggang motosikal Singapura yang telah menutup nombor plet mereka dengan pita pelekat semalam.

PDRM telah menunjukkan gambar ‘radar gun’ yang berjaya menangkap gambar sebuah motosikal Suzuki Hayabusa yang bergerak selaju 253km/j, namun tidak menyatakan di mana kumpulan itu berjaya ditahan.

Satu lagi gambar menunjukkan sebuah kereta peronda lebuhraya PDRM yang berhenti di hadapan sekumpulan penunggang motosikal di luar sebuah stesen minyak. Para penunggang berkenaan dilihat sedang berswafoto dan tersenyum gembira.

Set gambar yang berikutnya menunjukkan mereka sedang membayar saman yang dikenakan di kaunter bayaran PDRM. Kami andaikan yang mereka telah diiring ke balai polis berhampiran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Mohamad Fuzi Harun telah mengesahkan bahawa kumpulan tersebut adalah warganegara Singapura dan video papan pemuka berkenaan telah ditangkap di Johor Bahru. “Kami telah mengambil tindakan terhadap kumpulan penunggang yang terlibat, tidak kira sama ada mereka warga tempatan mahu pun asing,” ujar beliau sewaktu satu sidang media semalam.

Polis Diraja Malaysia telah mengadakan sekatan jalan dan perangkap hadlaju di lebuhraya dan jalan raya utama Malaysia bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina. Perayaan utama dalam negara sentiasa menyaksikan pergerakan ribuan rakyat Malaysia yang pulang ke kampung dan destinasi pelancongan. Jadi ianya satu tindakan yang kurang bijak untuk melakukan helah yang sedemikian.

Kumpulan penunggang berkenaan bernasib baik tidak terlibat dalam sebarang kemalangan dan menyebabkan lebih banyak kesukaran kepada para pengguna jalan raya pada masa yang sibuk ini.

Walau apa pun jua, tahniah diucapkan kepada PDRM atas tindakan mereka.

Sumber imej: Info Roadblock PDRM/JPJ

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.