Pasukan Aruba.it Racing – Ducati Superbike Melancarkan Jentera Ducati Panigale V4 R WorldSBK 2019

  • Pasukan Aruba.it Racing – Ducati Superbike telah melancarkan jentera Ducati Panigale V4 R WorldSBK 2019 mereka.
  • Penunggang mereka yang sedia ada, Chaz Davies akan disertai oleh penunggang baharu dan bekas pelumba MotoGP, Alvaro Bautista.
  • Kejohanan WorldSBK musim 2019 menandakan kali pertama Ducati mempertaruhkan jentera janaan enjin V-Four.

Dengan musim perlumbaan yang semakin hampir tiba, para pasukan telah berlumba-lumba memperkenalkan jentera masing-masing bagi tahun 2019. Terbaru adalah Aruba.it Racing – Ducati Superbike, yang telah melancarkan jentera Ducati Panigale V4 R mereka bagi kejohanan WorldSBK 2019.

Penunggang untuk pasukan berkenaan, Chaz Davies dan juga pendatang baharu, Alvaro Bautista akan mengemudi jentera ini dalam usaha mereka untuk merangkul semula kejohanan buat Ducati. Pengeluar dari Itali berkenaan telah mendominasi kejohanan sepanjang tahun 90-an dan ianya melalui kejohanan inilah nama Ducati menjadi sebutan ramai, sebelum mereka menceburi kejohanan MotoGP. Bagaimana pun, mereka telah gagal untuk memenangi takhta kejohanan superbike sejak tujuh tahun yang lalu.

“Kami akan berusaha dengan hanya satu tujuan dalam minda: menang,” ujar Gigi Dall’Igna tentang program WorldSBK Ducati Corse.

Motosikal Ducati Panigale V4 R ini juga sebuah mercu tanda yang penting bagi Ducati kerana ianya adalah motosikal kegunaan jalan raya janaan enjin V-Four pertama mereka. Pengeluar berkenaan telah mencipta model Panigale V4 ini sebagai senjata mereka bagi memenangi kejohanan WorldSBK, dan dengan itu telah mengakhiri tradisi mereka menghasilkan motosikal superbike V-Twin. WorldSBK dan World Supersport adalah kejohanan yang berdasarkan model pengeluaran.

Jangan salah anggap, model Ducati Panigale V4 R ini sudah cukup berbisa sebagai standard. Tetapi, pasukan dan pengilang ini bersikap pragmatik dalam pendekatan mereka. “Projek ini masih dalam peringkat awal dan pembangunannya telah bermula dengan amat baik sekali, namun kami masih perlu menyempurnakan beberapa perinciannya dan kami memiliki program pembangunan yang cukup jelas sekali,” tambah Dall’Igna.

Penunggang Chaz Davies akan memulakan musim kelimanya di atas jentera Ducati ini dan dia adalah seorang pesaing yang kental. Dia tidak gentar dalam memberikan saingan yang amat sengit dengan juara WorldSBK semasa dan sebanyak empat kali, Jonathan Rea dari Kawasaki.

Alvaro Bautista boleh dianggap sebagai ‘kuda hitam’ bagi pasukan pengilang ini dengan pengalaman dan pengetahun luas yang telah diperolehinya dalam MotoGP. Dia mungkin sekali dapat meraih beberapa buah kemenangan pada musim ini.

Sumber imej: Ducati dan Asphalt & Rubber

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]