Sempena Tahun Baru Cina 2019, Perodua telah membuat satu lawatan ke Hospital Selayang untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada pesakit kanak-kanak di wad pediatrik hospital tersebut.
Program ziarah pesakit kanak-kanak telah dijalankan pada Sabtu lepas 10 sukarelawan Perodua serta maskot UFirst Ari mengedarkan angpow dan hamper yang mengandungi beg tali dan alat tulis kepada kira-kira 80 orang pesakit kanak-kanak.
Juadah hidangan makan tengahari juga telah disediakan untuk menambahkan lagi suasana gembira dan meriah di wad pediatrik tersebut.
Menurut Dato’ Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, “Kami telah merancangkan banyak aktiviti menarik untuk kanak-kanak, termasuk persembahan boneka dan badut, mewarna dan menyanyi. Para sukarelawan kami juga akan membantu menceriakan ruang bermain kanak-kanak dengan membeli mainan dan buku baharu serta menghias dan membersihkan tempat tersebut,” tambah Dato’ Zainal.
Selain dari lawatan, Perodua juga telah menyumbang tiga unit pulse oximeter (peralatan yang menyukat jumlah oksigen di dalam badan) dan enam buah skrin mudah alih, bernilai RM12,000 keseluruhannya, kepada wad pediatrik. Hadir untuk menyampaikan sumbangan tersebut kepada Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Selayang Dr Selva Kumar adalah Ketua Jurutera Eksekutif Perodua En Albert Ngu.
“Sumbangan kami ini adalah sebahagian daripada komitmen jangka masa panjang kami terhadap wad pediatrik Hospital Selayang. Kami berharap sumbangan ini berjaya membawa semangat dan suasana Tahun Baharu Cina kepada kanak-kanak serta para pekerja yang tidak dapat meraikannya di rumah kali ini.”
“Pada Tahun Baharu Cina yang lalu, kami telah menyumbang tiga beg ambu (peralatan bantuan pernafasan) dan mengedarkan hamper kepada semua kanak-kanak di wad pediatrik. Kami sentiasa berhubung dengan pihak Hospital Selayang untuk mengetahui keperluan serta kehendak mereka – sama seperti yang kita lakukan dengan pelanggan kami yang dihargai.”
“Sebagai syarikat yang mengutamakan insan, Perodua ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua rakyat Malaysia. Pastikan kenderaan anda berada dalam keadaan baik dan pandulah dengan selamat, sopan dan bertanggungjawab semasa musim perayaan ini,” kata Dato’ Zainal.
Tweckbot, perkhidmatan pemeriksaan kenderaan mudah alih percuma Perodua, telah memeriksa 125 buah kenderaan menjelang Tahun Baharu Cina ini, dan mensasarkan sebanyak 1,000 pemeriksaan semasa musim perayaan di lokasi-lokasi tertentu tahun ini.
Tweckbot telah membantu memastikan kenderaan Perodua berada dalam keadaan selamat semasa musim perayaan sejak 2011 dengan menawarkan pemeriksaan 50-titik percuma kepada hampir 7,000 kenderaan sehingga kini. Untuk maklumat lanjut, layari www.perodua.com.my.