MotoGP 2019: Team Suzuki Ecstar Dedahkan Jentera Suzuki GSX-RR 2019

  • Team Suzuki Ecstar telah melancarkan jentera Suzuki GSX-RR 2019 bagi MotoGP musim 2019.
  • Para penunggangnya adalah veteran pasukan Suzuki selama tiga tahun, Alex Rins dan penunggang rookie, Joan Mir.
  • Motosikal GSX-RR 2019 telah dipertingkatkan dalam beberapa buah bahagian utama tanpa menjadkannya sebuah jentera serba baharu.

Team Suzuki Ecstar telah melancarkan jentera Suzuki GSX-RR 2019 yang akan dipertaruhkan mereka bagi MotoGP musim 2019.

Tidak seperti pasukan yang lain, Suzuki memilih untuk memperkenalkan jentera mereka melalui sebuah video dalam laman YouTube, dan bukannya dengan acara pelancaran ‘secara langsung’. Pasukan berkenaan turut memperkenalkan barisan penunggang mereka yang terdiri dari para penunggang dari Sepanyol. Penunggang veteran mereka selama tiga tahun, Alex Rins akan disertai oleh seorang penunggang baharu, Joan Mir. Mir telah diambil untuk menggantikan Andrea Iannone yang berpindah ke Aprilia. Sylvain Guintoli meneruskan tugasnya sebagai penunggang uji bagi Suzuki.

Alex Rins #42

Alex Rins menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam tiga pusingan terakhir musim 2018 dan berharap dapat memenangi perlumbaan pada tahun 2019. Kali terakhir Suzuki memenangi perlumbaan adalah bersama Maverick Viñales pada tahun 2016.

“Selepas ujian terakhir pada bulan November lalu, saya telah memberikan maklum balas yang jelas untuk tindakan para jurutera, dan kita akan mengetahui sejauh mana peningkatannya di Sepang dan kita jangkakan yng ianya bukannya peningkatan yang amat mendadak, sebaliknya penambahbaikan kecil pada pelbagai bahagian, yang mana merupakan falsafah Suzuki. Kami tahu apa kekurangan motosikal ini, jadi saya percaya yang jabatan R&D di Jepun akan mempersembahkan sebuah pakej yang akan membantu kami untuk menjadi bertambah baik,” ujar Rins.

Joan Mir #36

Joan Mir telah membuat kemunculan Moto3 sulungnya pada tahun 2015, menggantikan Hiroki Ono yang tercedera. Dia terbabas setelah bertembung dengan John McPhee. Mir kembali sebagai penunggang tetap pada tahun 2016 dan menamatkan musim di tempat kelima keseluruhan. Pada tahun 2017, dia telah mendominasi kejohanan dengan 10 kemenangan dan kelebihan 91 mata berbanding pencabar terdekatnya. Ramai pengulas merasakan yang dia mampu menjadi sehebat Valentino Rossi atau Marc Marquez.

Dia telah berpindah ke passukan EG 0,0 Marc VDS dalam Moto2 pada musim 2018 di mana dia merangkul 4 tempat podium dan dan mengakhiri musim di tangga ke-enam.

“Semestinya saya perlukan lebih banyak masa di atas motosikal berkenaan, ada banyak perkara yang masih saya perlu faham mengenainya untuk menjadi jauh lebih efektif, tetapi saya amat merasai sokongan yang diberikan oleh pasukan dan saya akan berharap kepada pengalaman mereka yang luas untuk memperbaiki diri, di samping menyumbang penambahbaikan saya sendiri pada motosikal saya,” ujarnya.

Suzuki GSX-RR 2019

Jentera 2019 ini masih mengikut bentuk asas model 2018, dengan beberapa pengubahsuaian kecil yang jelas.

Suzuki GSX-RR 2019
  • Bahagian ekor yang lebih besar.
  • Angkup brek hadapan yang berbeza.
  • Roda baharu.
  • Suspensi hadapannya juga tampak baharu.
  • Tempat letak kakinya terletak lebih tinggi.
  • Kemasan grafik baharu dengan jalur kuning dan kelabu yang lebih ketara pada reraup atas, menjulur ke tangki bahanapi.
  • Motosikal-motosikal baharu ini dipersembahkan dalam bentuk asasnya sebelum diubahsuai mengikut kesesuaian dan kegemaran tersendiri setiap penunggang.
Suzuki GSX-RR 2018

Itu adalah perbezaan yang tampak nyata pada mata kami, namun, Pengurus Teknikal pasukan, Ken Kawauchi mengatakan bahawa pengilang tersebut telah membangunkan enjin dan casis baharu, di samping peningkatan pada bahagian elektronik dan reraupnya. Dia juga turut mengatakan bahawa pendekatan Suzuki dalam projek MotoGP ini adalah dengan membuat penambahbaikan secara berperingkat berbanding dengan mereka bentuk semula sesuatu yang serba baharu sepanjang masa.

Kenyataan terakhir itu membuktikan betapa pentingnya buat para penunggang untuk memulakan musim baharu mereka dengan sesuatu yang mereka agak biasa dan pada masa yang sama, dipertingkatkan, daripada menunggang sesuatu yang teramat asing bagi mereka. Ia membantu penunggang itu untuk membiasakan diri mereka dengan jentera mereka dengan lebih pantas, dengan harapan ianya dapat membantu mereka mengecapi keputusan yang hebat dari mula lagi.

Sumber: Suzuki dan MotoGP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.