Tahun Baru Cina 2019 akan berlangsung pada 5 dan 6 Februari 2019 dan sudah pasti ramai yang akan pulang ke kampung halaman untuk bersama ahli keluarga yang disayangi. Pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin memastikan perjalanan balik dan pulang anda selamat dan lancar bagi semua.
Mulai 29 Januari hingga 12 Februari 2019, Ops Selamat akan dijalankan untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di jalan raya sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina. Ops Selamat yang ke-14 yang akan dijalankan oleh PDRM akan menumpukan perhatian kepada beberapa lokasi kemalangan yang tinggi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Kelang.
Pihak berkuasa juga telah mengumumkan bahawa mereka akan mengeluarkan saman serta-merta sebanyak RM300 bagi enam kesalahan trafik yang tertera dibawah iaitu:
- Memandu di lorong kecemasan
- Memandu melebihi had kelajuan
- Menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu
- Memotong giliran memandu atau ‘cut queue’
- Memotong di ‘double line’
- Tidak mematuhi lampu isyarat
Jika anda didapati bersalah dalam melakukan mana-mana kesalahan tertera diatas, saman perlu dijelaskan ‘on the spot’. Untuk memastikan keadaan trafik lancar di lebuhraya PLUS di kawasan Perak, dua bahagian laluan kecemasan akan dibuka dari Simpang Pulai ke Gopeng (KM287-KM290) dan Slim River ke Sungkai (KM367).
Kepada semua pengikut MotoMalaya.net, sila patuhi segala undang-undang jalan raya dan ingatlah pada ahli keluarga yang tersayang. Pandu dengan cermat, pastikan keadaan kereta berada pada tahap optimum dan jangan lupa rehat jika anda rasa penat atau mengantuk. Selamat Tahun Baru Cina 2019!