- Pasukan pengilang Ducati Team telah melancarkan jentera perlumbaan Ducati Desmosedici GP19.
- Penunggang pasukan pengilang, Andrea Dovizioso, Danilo Petrucci bersama dengan penunggang pasukan Pramac, Jack Miller, akan mengemudi jentera GP19 ini dalam kejohanan MotoGP musim 2019.
- Ia kini didatangkan dengan kemasan grafik berwarna merah sepenuhnya.
Pasukan pengilang Ducati Team telah melancarkan jentera perlumbaan Ducati Desmosedici GP19 bagi kejohanan MotoGP 2019.
Pelancaran ini telah disiarkan “secara langsung” dari Philip Morris Cube di Neuchâtel, Switzerland, pada awal hari ini. Para hadirin majlis pelancaran berkenaan terdiri daripada penunggang pasukan pengilang, Andrea Dovizioso dan Danilo Petrucci. Turut hadir adalah ahli-ahli utama pasukan dan juga pengilang seperti Claudio Domenicali, Paolo Ciabatti, Davide Tardozzi, Luigi Dall’Igna, dan lain-lain.
Jentera Ducati Desmosedici GP19 kini didatangkan dalam kemasan grafik berwarna merah sepenuhnya, tanpa jalur putih dan kelabunya itu. Penajaan Mission Minnow merupakan sebahagian daripada Philip Morris International (PMI).
Selain daripada kemasannya itu, jentera GP19 ini tampak mirip seperti pendahulunya, GP18. Bagaimana pun, lohong masukan udara gergasi di bahagian hadapannya itu kini didatangkan dengan bucu yang lebih dibulatkan, terutamanya pada bahagian bawah. Tekaan kami ianya adalah untuk memastikan aliran masukan udara yang lebih stabil kerana bentuk yang lebih bulat menggalakkan tegangan permukaan yang lebih baik. Dengan itu, aliran udaranya akan kekal bersama dan bukannya beralun-alun.
Selain itu, terdapatnya ‘misai’ reraup aero pada kedua-dua belah reraup belah atasnya.
Bagi mereka yang tertanya-tanya sama ada kotak ‘lunchbox’ itu masih ada pada jentera ini, ya, ia masih berada di bawah bahagian ekornya.
Walaupun jentera GP19 ini dari segi luarannya masih tampak seperti jentera yang lama, kami syak di bahagian dalamnya, banyak yang telah berubah. Perlu diingatkan, MotoGP akan menggunakan IMU standard pada tahun ini.
Ada dakwaan yang di buat dalam talian internet bahawa jentera GP19 ini mungkin mampu menghasilkan sehingga 300hp. Ia mungkin sekali benar, memandangkan jentera GP17 dan GP18 telah dikatakan mampu mencecah sekitar 280hp.
Dovizioso menamatkan dua musim yang lalu di anak tangga kedua kejohanan. Dia berasa yakin yang jentera baharu ini akan membantunya merangkul kejohanan MotoGP kedua Ducati semenjak kejayaan Casey Stoner pada tahun 2007.