Harga Honda CB650R 2019 Bagi Pasaran UK Didedahkan

  • Honda UK telah mendedahkan harga bagi model Honda CB650R 2019.
  • Motosikal ini hampir serba baharu, selain daripada penggayaannya.
  • Honda UK menawarkan model ini pada harga £6,999.

Pada ketika kami sedang menunggang uji kedua-dua model CB250R dan CB1000R, Honda telah mendedahkan harga bagi model CB650R baharu untuk pasaran UK.

Membuat kemunculan sulungnya di acara Paris Motor Show pada tahun lalu, motosikal CB650R ini adalah rombakan semula bagi model CB600F yang sebelumnya. Dari segi penggayaan, motosikal baharu ini cocok dengan rangkaian Neo Sports Café Honda, yang mana ianya termasuk kedua-dua buah model yang sedang kami uji.

Kami cukup kagum dengan kebolehan motosikal CB650F sewaktu tunggang uji kami. Kami menggelarnya sebagai jentera serba boleh kerana ia mampu mengisi beberapa peranan dengan baik sekali. Bagaimana pun, penggayaannya tidaklah terlalu menarik perhatian. Benar, ia kelihatan sesuai sekali dengan reka bentuk motosikal moden, tetapi, ia masih kekurangan sesuatu.

Tunggang Uji Honda CB650F 2018: Si Serba Boleh

Dan oleh kerana itu, Honda telah menangani masalah ini dengan mereka bentuk semula motosikal ini secara keseluruhannya. Ia kini bergaya moden retro, dengan sentuhan moden, cocok dengan nama “Neo Sports Café”.

Honda bukan sekadar mengemaskini. Model CB650R ini, hampir ke semuanya serba baharu.

Rombakan semula pada bahagian kerangka, tangki bahanapi, dan bahagian-bahagian yang lain telah mengurangkan beratnya sebanyak 6kg. Kerangkanya sendiri adalah 1.9kg lebih ringan dengan stok kepala yang lebih keras dan spar sisi yang lebih fleksibel. Forknya adalah fork Showa SFF (Separate Function Forks) yang boleh dilaras untuk redaman pra muatan dan lantunan. Brek hadapannya terdiri daripada angkup empat omboh pautan jejari Nissin. Rimnya juga baharu.

Enjinnya telah menambah had kitaran sebanyak 1,000rpm, selain daripada rombakan kepada bahagian mekanikal dan bahanapi. Hasilnya, peningkatan kuasa sebanyak 5% daripada enjin inline-fournya itu.

Dari segi ergonomik, posisi menunggang kini lebih agresif. Palang pemegangnya telah digerakkan ke hadapan sebanyak 13mm dan ke atas sebanyak 6mm.

Skrin TFTnya itu digarap daripada rangkaian Honda CB500.

Honda UK telah menetapkan harga bagi motosikal Honda CB650R 2019 pada harga £6,999 (RM36,950.52, mengikut kadar pertukaran matawang pada 15 Januari 2019). Kami jangka yang harganya akan berada di antara RM45,000 hingga RM52,000 sebaik sahaja tiba di Malaysia.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]