Nicola Dutto: Penunggang Paraplegik Pertama Dalam Rali Dakar

  • Nicola Dutto adalah penunggang motosikal paraplegik pertama dalam Rali Dakar.
  • Jentera KTM 450 EXC-Fnya telah diubahsuai khusus untuk tugas berkenaan.
  • Pasukannya terdiri daripada tiga orang penunggang lain yang akan membantunya.

Kita cukup arif sekali betapa sukarnya Rali Dakar ini pada atlit yang sempurna sifat, tetapi, Nicola Dutto ingin membuktikan pada dirinya yang seorang paraplegik boleh bertanding dalam acara ini.

Dutto merupakan juara Baja Eropah bagi tahun 2008 dan 2009. Malangnya, sebuah kemalangan sewaktu Baja Eropah tahun 2010 di Itali telah menyebabkannya lumpuh.

Namun begitu, dia telah kembali untuk berlumba pada acara tahun 2011 dengan sebuah bugi Polaris. Bagaimana pun, dia menyedari tiada apa yang dapat menandingi sinergi antara manusia dan jentera sebaik menunggang sebuah motosikal. Dia telah bereksperimen dengan ‘roll cage’ bagi melindungi bahagian bawah badannya. Dia menyertai perlumbaan Baja Aragon di Sepanyol empat bulan yang kemudian, di mana dia menduduki tempat ke-24.

Pencapaian ini mendorong Dutto untuk menyertai Rali Dakar sebagai penunggang paraplegik yang pertama.

Dutto sedang menyelenggara jentera KTM-nya

Bagi membantunya dengan kelainan upayanya itu, Dutto telah melakukan beberapa pengubahsuaian pada jentera KTM 450 EXC-F. Klacnya elektrik, dan tuil brek belakangnya digerakkan ke palang pemegangnya. Pakar kusyen kerusi roda, Vicair, telah membina sebuah pelana untuk sokongan. Dutto memerlukan perlindungan daripada hentakan kasar memandangkan dia tidak mampu untuk berdiri sewaktu ‘off-roading’ di atas permukaan bumi yang mencabar. Sebuah ‘roll cage’ telah dilengkapkan bagi melindungi bahagian bawah badannya, manakala kakinya telah diikat dengan ‘three-point harness’.

Bagaimana pun, Dutto perlu bergantung pada pasukannya untuk menunggang secara efektif. Ianya terdiri daripada bekas pesaingnya, Julián Villarrubia, Pablo Toral dan Victor Rivera. Seorang penunggang akan menunggang di hadapan bagi mengimbas muka bumi dan menjadi pembantu Dutto sewaktu dia berhenti. Dua lagi penunggang yang lain akan membantu mengangkat kembali Dutto sekiranya dia terjatuh.

Dutto masih lagi dalam perlumbaan pada penghujung Tahap 2 Dakar 2019. Marilah sama-sama kita mengikuti perkembangan penunggang yang mengagumkan dan pasukannya itu.

Nicola Dutto sedang menunggang motosikal KTM-nya

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]