Tunggangan Media Ducati Multistrada 950

  • Ducati Malaysia telah menganjurkan Tunggangan Media Ducati Multistrada 950 baru-baru ini.
  • Tujuan konvoi ini adalah untuk menyerlahkan kebolehan jentera Ducati Multistrada 950.
  • Di samping itu, tunggangan ini mempersembahkan sekilas pandang gaya hidup yang berkait rapat dengan motosikal ini buat warga media.

Apakah perkara yang paling menyeronokkan mengenai motosikal? Ianya bukan hanya mengenai motosikal tersebut semata-mata, tetapi, mengenai gaya hidup atau ‘ekosistem’ yang berkait rapat dengannya. Dan inilah yang telah di buktikan melalui Tunggangan Media Ducati Multistrada 950.

Ducati Malaysia ingin menyerlahkan kebolehan jentera Ducati Multistrada 950, tetapi, ianya bukan hanya tertumpu kepada motosikal ini sahaja.

Berkumpul di tempat permulaan

Satu baris yang diisi oleh tiga buah motosikal Multistrada 1200 Enduro dan satu lagi baris yang diisi dengan lapan buah jentera Multistrada 950 mengalukan ketibaan kami di kompaun Ducati Malaysia.

Para kru turut ada bagi menyambut kedatangan kami dengan sapaan dan senyuman. Salah seorang daripada mereka telah memberikan kami stiker DRE: Ducati Riding Experience sebelum mengiringi kami ke dalam untuk pendaftaran. Pendaftar kemudiannya telah menetapkan jentera Multistrada 950 yang akan kami tunggangi dan menunjuk ke arah tempat sarapan.

Taklimat sebelum penunggangan dimulakan dengan ucapan aluan dan persembahan produk ringkas oleh David Lim, Eksekutif Pemasaran Ducati Malaysia. Kami jelas sekali tentang apa yang dilambangkan oleh model Multistrada 950 ketika ianya dilancarkan, namun penyegar ingatan sentiasa dialukan.

Berikutnya adalah persembahan oleh Haizal Omar, Ketua Marsyal dan Jurulatih DRE. Dia memberikan taklimat menggunakan poin dari tip penunggangan yang amat terkenal bergelar “The Pace”.

“The Pace” adalah hasil nukilan seorang wartawan permotoran terkemuka, Nick lenatsch. Diterbitkan buat kali pertama dalam majalah Motorcyclist pada tahun 1991 sebelum diterbitkan semula dalam majalah Sport Rider pada tahun 1993. Dia kemudiannya telah memperhalusi dan menambah beberapa buah tip yang lain dan menerbitkannya sebagai “The Pace 2.0” dalam Cycle World Magazine pada tahun 2013. Begitu ramai para pelatih, wartawan permotoran, dan juga kelab motosikal menggunakannya sebagai rujukan.

The Pace meliputi disiplin penunggangan jalan raya, terutamanya dalam kumpulan. Kami dipecahkan kepada dua kumpulan, yang diketuai oleh Haizal dan Didi. Mereka akan mengetuai pada rentak yang sesuai untuk penunggang dalam setiap kumpulan. Mereka akan memastikan dari masa ke semasa yang semua penunggang berada dalam tahap yang selesa.

Selain itu, Haizal adalah seorang jurulatih bertauliah dari California Superbike School. Dengan itu, dia dapat berkongsi pengetahuan dan pengalamannya dengan kami semasa penunggangan ini sebagai sebahagian daripada “Ducati Riding Experience”.

Ducati Malaysia turut meminjamkan kami jaket penunggangan jenama Ducati. Kebanyakannya adalah buatan Dainese, namun ada antaranya oleh Rev’ It.

Penunggangan

Kami menuju terus ke stesyen minyak BHP Karak sebelum meneruskan perjalanan di atas lebuh raya. Trafik agak ringan memandangkan ianya hari bekerja.

Marsyal mengekalkan rentak yang tinggi bagi membolehkan kami menikmati kehebatan Multistrada 950. Namun, ianya tidak terasa seperti kami digesa. Kami tidak digesa untuk menunggang laju seperti sedang berlumba dalam GP di Lebuhraya Karak. Sebaliknya, ia terasa seperti satu penunggangan yang lancar pada hari Selasa.

Empangan Klau

Kami turun dari lebuhraya dan menuju ke Sungai Klau.

Laluan ini bukan sahaja melangkau pekan Bentong yang sibuk, ia juga lebih menarik pemandangannya. Jalan sempit yang diapit barisan kelapa sawit sehingga ia digantikan dengan pemandangan sungai dan tasik-tasik kecil. Kami dapat lihat banjaran gunung Titiwangsa yang dihiasi awan.

Kami berhenti berehat seketika dan untuk mengambil gambar. Salah sebuah kenderaan sokongan Ducati Malaysia telah pun tiba sebelum kami, dan krunya telah melambai kami memasuki kawasan parkir. Mereka menyambut kami dengan tuala yang disejukkan dan minuman.

YES Orchard & Café

Cafe ini terletak di jauh dari laluan utama, memberikan kami peluang untuk melakukan penunggangan ‘off-road’.

Kami tiba sebelum waktu makan tengahari, jadi, kebun tersebut telah menyediakan sebakul durian Raub untuk dinikmati. Dan ianya cukup besar sekali. Isinya juga tidak kurang banyaknya. Ianya durian paling sedap pernah dinikmati penulis.

Jurulatih DRE duduk bersama kami bagi berkongsi tip-tip yang berguna. Kami diberi tunjuk ajar mengenai ‘countersteering’, penglihatan, pemilihan laluan, dan kemahiran penunggangan penting yang lain.

Makan tengahari disediakan selepas itu. Penulis bukannya minat sangat dengan ikan patin tempoyak tetapi tidak dapat dinafikan yang ini sangat sedap sekali! Tidak akan dapat jumpa sesedap ini di Kuala Lumpur.

Sungai Koyan – Cameron Highlands

Sorotan bagi penunggangan kali ini.

Jalan Sungai Koyan – Cameron Highlands ini menjadi kegemaran para penunggang. Secara amnya laluan ini diliputi dengan selekoh yang panjang dengan masukan yang tajam. Terdapat sejumlah pusingan jejari mengurang bagi mengingkatkan lagi tahap keterujaan.

Permukaannya mencengkam, tetapi apeks-apeks kebanyakan selekohnya telah mendap sejak bermulanya projek empangan. Ini bakal menjadi satu ujian tahap kebolehan sebenar motosikal Multistrada 950 ini.

Seperti sebelum ini, rentak dikawal dengan mahir sekali dari hadapan kumpulan. Kami melepaskan pendikit awal, berada di luar selekoh lebih lama bagi menetapkan laluan yang paling selamat, sebelum memasukinya lebih kemudian dan memulas pendikit lebih awal bagi mengimbangkan motosikal. Tiada pulasan deras, pembrekan keras, motosikal bergegar, sewaktu memasuki selekoh. Hanya penunggangan lancar sepanjang perjalanan. Kami menunggang dengan rentak yang pantas tetapi masih mempunyai masa untuk menikmati pemandangan.

Motosikal Multistrada 950 terasa selesa di sini. Sedikit daya dikenakan pada palang pemegang sudah mencukupi untuk memandu arah motosikal ini. Sebaik sahaja ia mencondong, sedikit pulasan pendikitnya akan menstabilkan casis dan motosikal ini akan berada tetap di haluan yang dipilih. Untuk mengiring lagi rapat ke selekoh anda hanya perlu gerakkan bahu anda ke arah tempat dituju.

Mendapan atas jalan agak jelas sekali, tetapi, suspensinya bertindak balas dengan amat baik sekali

Tunggang Uji: Ducati Multistrada 950 – “Kuda Jantan Itali”

Ringlet, Cameron Highlands

Masa terasa seperti berlalu dengan pantas sekali ketika kami sedang berseronok. Nurseri berkanopi putih di cerun-cerun bukit menyambut ketibaan kami di Ringlet.

Kami menuju ke stesyen minyak Shell dekat Ringlet untuk isian semula. Ini merupakan satu-satunya hentian isian semula kami sejak kami meninggalkan Ducati Malaysia di sebelah pagi. Kmi telah meliputi jarak 294km, berbakikan 30km bahanapi. Cukup mengagumkan, memandangkan rentak yang kami tunggangi.

Jim Thompson’s Cottage

Dari situ kami mendaki bukit menuju tempat penginapan kami di Jim Thompson’s Cottage. Ia terletak di puncak bukit berhampiran dengan Padang Golf Sultan Ahmad Shah.

Siapakah Jim Thompson?

Warga Amerika Syarikat, Jim Thompson telah membina rumah ini sebelum Perang Dunia ke-2. Dia telah keluar berjalan pada satu hari pada tahun 1947 dan menghilangkan diri. Jasadnya tidak pernah dijumpai dan tidak ada sebarang tanda mahu pun berita mengenainya sejak itu.

Ianya bukanlah sebuah banglo yang besar tetapi, ianya bergaya klasik dengan pintu tempa besi, pintu bilik kayu keras, papan lantai kayu, anak tangga kayu, serta pendiang api di ruang tamu dan juga beberapa buah bilik.

Kotej ini kini dijadikan sebuah resort dan hotel. Kebanyakan pengeluar kenderaan telah memilih acara ini sebagai tempat acara mereka. Pilihan yang tepat sekali. Ini kerana ianya mempunyai halaman yang besar dan taman untuk menikmati udara sejuk di samping pemandangan yang indah. “Restoran”nya adalah bahagian berbumbung halaman.

Kami daftar masuk dan kami tidak pun menutup pintu bilik. Sebaliknya, kami berkumpul di ruang tamu untuk berborak. Terasa seperti rumah sendiri. Berbeza berbanding menginap di hotel bertingkat di mana para peserta berehat di bilik masing-masing.

BBQ dan stimbot merupakan hidangan makan malam kami. Kami duduk dan makan bersama, warga media, kru Ducati dan wakil Naza. Kami berkongsi cerita, bergelak ketawa mengingati peristiwa yang berlaku sewaktu penunggangan siang tadi (contohnya, penulis sering kali gagal membuat pusingan-u atas motosikal berkenaan). Cukup meriah sekali suasana sehinggakan kami lupa untuk mengunjungi pekan Brinchang.

Ducati Malaysia dan jurulatih DRE mempersembahkan sijil penyertaan kepada kami. Selain itu, jurulatih-jurulatih juga telah memilih tiga orang peserta terbaik dalam mematuhi garis panduan “The Pace” dan etika penunggangan konvoi.

Cameron Highlands

Teman sebilik saya telah mengejutkan saya jam 7.30 pagi untuk bersarapan. Ruang makannya hanya di luar tingkap saya, tergoda rasanya ingin memesan ‘room service’ sahaja.

Sarapannya ringkas, dan sekali lagi kami berpeluang untuk bersembang, sehinggalah masanya untuk mendaftar keluar.

Berat rasanya hendak meninggalkan tempat tersebut.

Cameron Highlands – Simpang Pulai

Kami dikejutkan dengan trafik sesak, walaupun ianya adalah hari bekerja. Nasib baik ini adalah konvoi kecil sahaja, di mana kami cuba sebaik mungkin untuk meloloskan diri tanpa mengganggu pemandu kereta.

Ianya satu penunggangan yang sukar, tetapi kami berjaya tiba di permulaan jalan Cameron Highlands – Simpang Pulai. Kami berhenti di satu tempat yang baik untuk berehat dan bergambar. Trafiknya mulai surut di sini, kecuali di laluan menuju ke Cameron Highlands.

Kami menunggang kembali selepas 30 minit.

Sekali lagi, kami merujuk pada “The Pace” dan berseronok menunggang menuruni jalan raya yang mencabar ini. Para marsyal mengingatkan kami untuk menunggang dengan jarak yang luas antara satu sama lain dan melihat melampuai selekoh pada setiap masa.

Nasihat itu dipraktikkan sepenuh apabila Ketua Marsyal terlanggar lubang yang dalam di tengah-tengah selekoh. Tayar belakang menggelongsor tetapi dia berjaya mengawalnya kembali dengan mahir sehinggakan penulis tidak tersentak. Cayalah!

Kami tiba di Simpang Pulai dengan pantas. Terlalu pantas. Kami tidak merasa letih sewaktu penurunan, namun tenaga kami mulai hilang akibat bahang panas.

Kami berhenti di stesyen minyak Shell untuk isian semula dan menuju ke Gopeng untuk makan tengahari.

Adeline’s Villa

Adeline’s Villa terletak di kawasan eko pelancongan berhampiran Sungai Geroh. Bangunan utama resort tersebut diperbuat daripada pondok kayu dengan bumbung atap.

Kami menikmati juadah lazat yang disediakan, walaupun sedar yang kami pasti mengantuk kemudian. Tetapi, sebagai warga Malaysia yang ‘normal’, masakan kami mampu menolaknya?

Ada satu lagi kejutan di resort ini. Pengunjung perlu mencuci pinggan mangkuk mereka sendiri selepas makan. Satu idea yang bernas. Makanannya cukup menyelerakan sekali. Sayur-sayuran dan dagingnya cukup segar dan mengecurkan bibir.

Sesudah membasuh pinggan, kami bersiap-sedia untuk bergerak pulang. Matahari memancar terik atas kepala pada ketika itu dan mata kami mengecil menahan silaunya. Nun jauh di hadapan awan mendung berarak turut merisaukan kami.

Trafik di lebuh raya bergerak perlahan di beberapa tempat kerana kerja-kerja pembinaan jalan. Ianya penunggangan yang lancar, dan kami telah meliputi jarak 188km ke Ducati Malaysia dalam masa lebih kurang satu setengah jam.

Kesimpulan

Diberi peluang untuk merasai jentera Ducati Multistrada 950 itu sendiri satu pengalaman yang cukup menyeronokkan, tetapi, perjalanan yang kami tempuhi ini menjadikannya lebih istimewa. Penganjurannya cukup bagus sekali, dan semua orang menjalankan tugas masing-masing dengan penuh professional. Sebagai contoh, kru Ducati sering kali dilihat membersihkan motosikal pada setiap masa yang terluang. Ada di antaranya yang memeriksa motosikal secara keseluruhan dan melakukan penyesuaian sewaktu kami bersarapan. Kru bantuan senantiasa berada di hadapan kami dan tiba terlebih dahulu di hentian untuk membantu kami memarkir motosikal dan menawarkan minuman dan tuala muka yang disejukkan.

Kakitangan pengurusan sentiasa sedia untuk menjawab sebarang soalan atau mendengar sebarang kritikan kami. Jurulatih-jurulatih DRE, Haizal dan Didi sentiasa terbuka untuk berkongsikan pengetahuan yang mereka miliki.

Syabas diucapkan kepada Ducati Malaysia. Teruskan usaha hebat anda.

Sila hubungi Ducati Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Multistrada 950 dan model-model Ducati yang lain. Pengedar berkenaan boleh dihubungi di talian 016-229 1533. Anda juga boleh melayari laman Facebook rasmi mereka.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.