- Pemilik motosikal MV Agusta di Malaysia telah ditinggalkan terkapai-kapai tanpa sebarang pusat perkhidmatan rasmi bagi menyelenggara motosikal MV Agusta mereka.
- Goh Brothers Motorcycles Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian bersama MV Agusta motor S.p.A untuk menyediakan perkhidmatan selepas jualan rasmi di Malaysia.
- GB Workshop yang terletak di The Gasket Alley akan menjadi bengkel pertama yang menyediakan sokongan rasmi buat para pemilik MV Agusta termasuklah penyelenggaraan, membaiki, serta tuntutan waranti.
MV Agusta mempunyai sejarah yang cukup gemilang di Malaysia, mengecapi kejayaan buat seketika sebelum lenyap dari pandangan mata arus perdana.
Beberapa buah syarikat telah dipertanggungjawabkan dengan pengedaran jenama ikonik ini, namun, tidak terlalu lama dahulu, jenama ini sekali lagi berada dalam keadaan yang tidak menentu apabila syarikat terakhir yang memegang hak pengedaran bagi motosikal MV Agusta di Malaysia telah menggulung tikar mereka. Tanpa sokongan selepas jualan yang rasmi, para pemilik MV Agusta di Malaysia ditinggalkan terumbang-ambing.
Kini, masa depan jenama ini tampak semakin cerah kembali, dan para pemilik motosikal MV Agusta di Malaysia sudah pasti akan berasa amat teruja dengan perkembangan baharu ini.
Goh Brothers Motorcycles Sdn. Bhd. (GBMC) telah mengumumkan satu kerjasama dengan MV Agusta (MV) Motor S.p.A bagi memberikan ketenangan minda buat ke semua pemilik motosikal MV di Malaysia. Dengan kerjasama ini, GBMC akan mula menyediakan khidmat sokongan selepas jualan bagi ke semua motosikal MV Agusta di Malaysia, dalam bentuk perkhidmatan am dan penyelenggaraan, membaik pulih, dan juga bagi sebarang tuntutan waranti.
Cawangan pertama yang akan sedia untuk menerima kunjungan para pemilik MV adalah GB Workshop di hab motosikal terkemuka, The Gasket Alley, di Petaling Jaya.
“Kami berbangga kerana telah dipilih sebagai rakan kongsi jenama motosikal super-premium yang terkemuka ini di Malaysia dan bagi memulakan proses membina pengalaman pemilikan jenama ini melalui perkhidmatan selepas jualan, kami telah menghantar pasukan kami untuk latihan di kilang di Itali, di samping memastikan peralatan dan kelengkapan yang sesuai tersedia di pusat perkhidmatan penyelenggaraan kami.” Ujar encik Goh Kian Sin, Pengerusi Goh Brothers Motorcycles.
Pengurus Negara-Negara Timur Jauh MV Agusta Motor SpA, encik Judah Sangaran, berkata, “Kami bekerjasama rapat dengan GBMC bagi membina dan mengekalkan keyakinan pengguna semasa jenama kami di Malaysia dan salah satu langkah tersebut adalah untuk memastikan ketersediaan alat ganti yang lebih pantas di samping perkhidmatan penyelenggaraan dan membaiki yang diyakini bagi ke semua pemilik MV Agusta yang sedia ada di Malaysia.”
Bertanggungjawab dalam menyelenggara motosikal MV Agusta yang lama mahu pun baharu adalah encik Idon Pang (di atas), Pengurus bahagian Selepas Jualan GB Workshop, yang telah mendapatkan latihan mengenai motosikal MV Agusta di Itali. Jadi, anda tidak perlu bimbang kerana motosikal MV Agusta anda berada dalam jagaan yang baik, barang kali jauh lebih baik daripada sebelum ini.
Model-model motosikal MV Agusta yang dijual di Malaysia termasuklah model F3 800, F4, F4RR, Brutale 1090, Brutale 1090R, Brutale 1090 Corse, Brutale 800, Brutale 800RR, Brutale Dragster, Brutale Dragster 800RR, Rivale, Turismo Veloce, Stradale, dan model-model MV Agusta sebelum tahun 2015.