Penunggang Motosikal Tawarkan Motosikal Yamaha R1 Kepada Polis Thailand Dalam Satu Aksi Kejar-Mengejar

  • Seorang penunggang motosikal telah menawarkan motosikal Yamaha R1-nya kepada polis bagi mengejar seorang saspek langgar lari.
  • Dia memutuskan untuk membantu setelah melihat pemandu trak pikap merempuh sekatan jalan raya polis.
  • Dia bersama anggota polis berkenaan telah mengejar trak tersebut dan berjaya menghentikannya.

Seperti satu babak dalam sebuah filem aksi, seorang pegawai polis Thailand telah mengejar seorang saspek insiden langgar lari di atas sebuah motosikal Yamaha R1 di Phang Nga, Wilayah Krabi.

Ketua Polis Ao Lueak, Kolonel Kritsanat Wongklaharn, mengatakan bahawa mereka telah menerima panggilan daripada polis Phang Nga bahawa ada sebuah trak pikap yang melarikan diri ke Krabi selepasa satu insiden langgar lari. Polis Ao Lueak telah mengadakan sekatan jalan raya namun trak berkenaan telah merempuh sebuah sekatan jalan raya di Na Nuea.

Seorang penunggang Yamaha YZF-R1 telah menyaksikan kejadian ini dan menawarkan kepada seorang anggota polis untuk memboncengi motosikalnya. Anggota polis yang lain mengekori mereka dari belakang.

Pasangan yang berada di atas R1 tersebut berjaya mengejar trak berkenaan dan anggota polis tersebut telah melepaskan sedas tembakan ke tayar hadapan namun pemandu trak masih tidak berhenti. Dia sekali lagi melepaskan tembakan amaran dan pemandu berkenaan akhirnya berjaya dihentikan oleh polis di Jalan Seaboard di Krabi.

Ujian dadah ke atas saspek berusia 21 tahun itu didapati positif. Dia memberitahu pihak polis bahawa dia telah bertengkar dengan isterinya sebelum kejadian ini.

Dia kemudiannya telah didakwa dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah, memandu tanpa menghiraukan keselamatan orang lain, melanggar isyarat jalan raya, dan memandu secara merbahaya.

Pada pandangan kami, penunggang motosikal tersebut juga perlu diberikan pingat. Kesediaan dan keberaniannya untuk membantu pihak polis dalam memastikan keselamatan para pengguna jalan raya yang lain daripada menjadi mangsa perlu diberikan kepujian.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]