Motosikal BMW S 1000 RR 2019 Dilengkapi Dengan Injap Batang Berongga Titanium

  • BMW Motorrad telah mendedahkan bahawa motosikal BMW S 1000 RR 2019 akan menggunakan injap batang berongga titanium.
  • Teras yang berongga ini akan meringankan injapnya.
  • Injap yang lebih ringan akan membolehkan tahap rpm yang lebih tinggi secara konsisten.

BMW Motorrad telah mendedahkan yang model BMW S 1000 RR 2019 mereka akan menggunakan injap batang berongga titanium.

Tugasan Injap

Injap enjin berhadapan dengan keadaan yang paling mencabar dalam sesebuah enjin. Berbanding dengan omboh, ianya tidak dilincirkan dengan minyak enjin dan dengan itu, tidak didinginkan olehnya. Kepala injap – permukaan yang berdepan dengan kebuk pembakaran – terdedah kepada wasap pembakaran yang teramat panas, iaitu sekitar 700ºC.

Tidak cukup dengan itu, setiap injap akan terbuka dan ditutup berbilang kali pada satu-satu masa. Pada tahap kemuncak 14,200rpm bagi model S 1000 RR yang lama, setiap injap akan terbuka dan tutup pada kadar 118 kali per saat. Model S 1000 RR 2019 pula dilengkapi dengan ShiftCam dan had kitarannya telah dipertingkatkan kepada 14,600rpm. Setiap injap kini terbuka dan tutup sebanyak 122 kali per saat pada kitaran maksimum.

Bagaimana Enjin Empat Lejang Berfungsi

Walaupun berat injap ini ringan berbanding bahagian bergerak lain dalam enjin, ianya masih terdedah kepada hampir 5,000G daya, iaitu 5,000 kali ganda beratnya.

Penggunaan Titanium

Jadi, bagaimanakah kiranya kita mahu mengurangkan daya yang terhasil dari inertia ini? Salah satu jawapannya adalah dengan mengurangkan berat injap. Namun begitu, timbul satu persoalan baharu, iaitu bagaimana untuk meringankan berat sesuatu bahan tanpa menjejaskan kekuatannya? Jawapannya, titanium. Titanium mempunyai nisbah kekuatan-ketumpatan terbaik di antara semua elemen keluli.

Injap titanium bukanlah sesuatu yang baharu. Ianya telah pun wujud sejak berdekad lamanya dan telah digunakan secara meluas dalam enjin kereta lumba sebelum diadaptasikan sebagai produk selepas jualan untuk motosikal pada pertengahan 90-an. Semenjak itu, para pengeluar telah menggunakan injap titanium dalam model berprestasi tinggi mereka.

Bagaimana pun, ia masih berjisim dan dengan itu, memiliki daya inertia apabila sedang bergerak. Enjin memerlukan lebih banyak tenaga untuk ‘cam lobes’ bagi memaksa injapnya terbuka. Hasilnya, pembaziran kuasa, kitaran maksimum lebih rendah, dan tahap reliabiliti lebih rendah.

Penyelesaian Ringkas Yang Berkesan

Atas sebab inilah BMW Motorrad memutuskan untuk melengkapkan injap batang berongga pada model S 1000 RR yang baharu ini.

Namun sekali lagi, injap batang berongga bukannya sesuatu yang baharu.

Pengeluar kereta telah menggunakan injap batang berongga yang diisi dengan sodium sejak tahun 70-an. Pakar injap selepas jualan, Ferrea Racing Components, telah menghasilkan injap titanium sejak bertahun lamanya.

Injap batang berongga buatan Ferrea Racing Components

Model S 1000 RR 2019 ini merupakan motosikal pengeluaran pertama yang menggunakan injap batang berongga titanium.

Bagaimana Ianya Dihasilkan?

Sebuah injap ini terdiri daripada dua bahagian. Bahagian tapak dan batang kemudiannya akan dikimpal menjadi satu.

BMW kemudiannya mengorek 2mm di tengah injap berdiameter 5mm tersebut, sebelum mengimpalnya. BMW menyatakan bahawa proses ini adalah satu rahsia.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]