Triumph Bonneville Speed Twin 2019 Diperkenalkan!

  • Motosikal Triumph Bonneville Speed Twin 2019 telah pun diperkenalkan.
  • Ia dilengkapi dengan pengendalian serta enjin berprestasi tinggi, dan juga rupa paras retro.
  • Motosikal ini mengambil ilham daripada motosikal berprestasi tinggi pertama keluaran Triumph, iaitu model Speed Twin 1937.

Motosikal Triumph Bonneville Speed Twin 2019 telah pun diperkenalkan setelah ianya didedahkan terlebih dahulu kepada para pengedar sewaktu Persidangan Pengedar Global pada bulan Oktober yang lalu.

Model Triumph Bonneville Speed Twin 2019 ini telah mengambil ilham daripada motosikal Speed Twin 1937 yang asal – motosikal berenjin ‘parallel-Twin’ berprestasi tinggi pertama keluaran Triumph. Dan dengan itu, motosikal baharu ini adalah sebuah model Bonneville T120 yang dipertingkatkan.

Namun, ianya bukanlah hanya sekadar sebuah model T120 yang dilengkapi dengan bahangian-bahagian baharu sahaja. Penggayaannya adalah daripada motosikal Street Twin 2019 yang baharu, tetapi, motosikal Speed Twin ini menggabungkan praktikaliti model T120 dengan prestasi yang ada pada model Thruxton R.

Triumph telah memberikan penumpuan yang teliti terhadap tahap pengendalian motosikal ini. Dan dengan itu, motosikal Speed Twin ini didatangkan dengan kerangka baharu, yang mana ianya berdasarkan kepada kerangka model Thruxton R. Bahagian hadapannya dikendalikan oleh fork kartrij. Penyerap hentakan belakang bergandanya pula telah dilaras untuk pramuatan. Rodanya pula adalah roda aluminium 17 inci yang dilitupi dengan tayar Pirelli Rosso Corsa 3. Angkup empat omboh Brembo mengendalikan daya henti bagi bahagian hadapan.

Posisi duduknya lebih menegak berbanding motosikal Thruxton, tetapi lebih sporty berbanding motosikal T120 yang biasa. Ciri ergonomiknya mungkin tampak agresif, namun, pelananya hanyalah setinggi 807mm.

Menjana motosikal ini adalah enjin High Power (HP) 1,200cc, tetapi, ia juga telah dikemaskini. Triumph telah merombak semula enjinnya itu dengan menambah sebuah penutup cam magnesium, klac baharu, serta penutup sisi. Pengemaskinian ini telah berjaya mengurangkan beratnya sebanyak 2.5kg. Secara keseluruhannya, motosikal Speed Twin yang baharu ini adalah 10 kilogram lebih ringan berbanding model Thruxton, dengan berat bersih 196kg.

Ia kini mempunyai kuasa sehingga 96hp dan menghasilkan 112Nm tork. Motosikal Speed Twin ini juga dilengkapi dengan pendikit ‘Ride-by-Wire’, tiga mod penunggangan, kawalan cengkaman, dan ABS.

Harganya masih belum didedahkan, jadi, teruskan bersama kami untuk mengetahuinya pada masa yang akan datang!

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.