Honda Group Perkukuh Hala Tuju Perlumbaan Motosikal Jalan Raya Di Asia Dan Oceania

  • Honda Group of Companies Asia dan Oceania telah memperkukuhkan hala tuju mereka bagi perlumbaan motosikal di rantau berkenaan.
  • Honda mensasarkan untuk menghasilkan lebih ramai penunggang serta mekanik bertaraf dunia melalui penglibatan mereka.
  • Program ini meliputi hampir ke semua siri perlumbaan di rantau ini.

Honda Group of Companies Asia dan Oceania telah memperkukuhkan lagi hala tuju mereka bagi memperkasakan penglibatan Honda dalam sukan perlumbaan motosikal di rantau Asia dan Oceania. Satu sidang akhbar telah diadakan sehari selepas kelayakan bagi kejohanan FIM Asia Road Racing Championship (ARRC) di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand.

Honda telah mengesahkan bahawa mereka akan menyahut cabaran perlumbaan motosikal jalan raya di rantau ini dengan sasaran untuk membangunkan bakat penunggang dan mekanik pasukan motosikal bertaraf dunia dari Asia. Bagi mencapai sasaran ini, Honda telah komited dalam mencipta satu budaya sukan permotoran di samping mengasah kemahiran para pelumba serta mekanik pasukan di seluruh benua Asia.

Sejajar dengan komitmen ini, subsidiari motosikal Honda di Asia, termasuklah Thailand, Indonesia, Malaysia, Vietnam, dan India telah menuruti hala tuju serantau dalam operasi masing-masing, melalui pelbagai aktiviti sukan permotoran, antaranya menubuhkan sekolah perlumbaan Honda, menubuhkan pasukan perlumbaan jalan raya mereka sendiri, menganjurkan perlumbaan satu model Honda tempatan, dan bertanding dalam perlumbaan peringkat tempatan, kebangsaan, dan juga antarabangsa.

Penunggang serta mekanik muda Honda secara berterusan akan menimba pengalaman dan mempertajamkan kemahiran mereka melalui latihan intensif dan dengan bersaing dalam pelbagai perlumbaan peringkat tempatan dan kebangsaan. Bintang dengan harapan paling cerah akan meneruskan ke peringkat yang berikutnya bagi menghadapi cabaran yang lebih getir dengan menyertai pasukan perlumbaan Honda untuk perlumbaan antarabangsa, ARRC. Pelumba dan mekanik yang cemerlang dari pasukan Honda Asia ini akan mempunyai peluang bagi menyertai pasukan perlumbaan Honda untuk perlumbaan bertaraf antarabangsa.

Sewaktu sidang ini, Honda turut memberikan perkembangan terkini mengenai pasukannya yang menyertai ARRC 2018. Buat masa ini, pasukan Honda dari Thailand, Malaysia, Indonesia, Vietnam, dan India sedang bersaing dalam kategori Underbone 150cc (UB150), Asia Production 250cc (AP250), dan Supersport 600cc (SS600). Mereka telah mencapai keputusan yang cemerlang, lebih-lebih lagi bagi kategori AP250, di mana penunggang Honda, Rheza Danica dari pasukan Astra Honda Racing Team dari Indonesia bakal membolot kejohanan penunggang AP250 2018.

Honda turut mengesahkan penyertaan mereka dalam kelas Asia Superbike 1,000cc(ASB100) yang akan diadakan buat julung kalinya sewaktu musim ARRC 2019, dengan pasukan Honda Asia-Dream Racing, sebuah pasukan yang mana kakitangan paling berbakat dari subsidiari dan pasukan perlumbaan Honda dari seluruh rantau Asia dan Oceania telah direkrut. Bekas penunggang MotoGP, Makoto Tamada, telah disahkan sebagai pengurus pasukan, dan Zaghwan Zaidi, dari Malaysia, sebagai penunggang pasukan. Untuk tahun ini, pasukan ini telah menduduki tangga ke-17 bagi kategori Japan Superbike 1,000cc (JSB1000) di kejohanan All-Japan Road Race Championship (JSB) 2018, dan mendapat tempat ke-tujuh bagi perlumbaan ketahanan Suzuka 8-hour. Bagi tahun 2019, pasukan Honda Asia-Dream Racing akan terus bersaing dalam kedua-dua kejohanan, mencabar diri bagi mempamerkan prestasi yang lebih baik dan mencapai kedudukan yang lebih tinggi.

Dengan kerjasama ahli pasukan Honda dari syarikat Honda di seluruh rantau Asia dan Oceania, Honda akan berusaha untuk terus mempamerkan keputusan perlumbaan yang terbaik bagi merealisasikan impian untuk memiliki sebuah pasukan serta para penunggang Honda yang boleh menjadi pencabar utama dalam perlumbaan bertaraf dunia.

Mewakili Honda adalah Encik Soichi Yamana, Pengurus Jabatan Motosikal, Divisyen Sukan Permotoran, Honda Motor Co., Ltd.; Encik Atsushi Ogata, Pengarah Asian Honda Motor Co., Ltd.; Encik Ryo Takahashi, Pengurus Besar Divisyen Perniagaan Motosikal, Asian Honda Motor Co., Ltd.; dan Encik Makoto Tamada, Pengurus Pasukan, Honda Asia-Dream Racing.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]