Para penunggang Moto2 telah pun menguji enjin Moto2 Triumph 2019.
Para pasukan Moto2 kemudiannya akan membina kerangka motosikal untuk enjin ini.
Namun, berapa banyak kuasa kuda yang boleh dihasilkan oleh enjin perlumbaan ini?
Seluruh lapangan pasukan dalam siri kejohanan Moto2 telah menguji motosikal janaan enjin Moto2 Triumph 2019 mereka dengan jayanya baru-baru ini.
Namun begitu, masih ada beberapa pertanyaan, antaranya, dari model manakah enjin ini diambil? Atau lebih tepat lagi, berapa banyak kuasa kuda yang ia mampu hasilkan?
Kami telah menyentuh mengenai subjek ini sebelum ini, dan tidak ada salahnya sekiranya kita menyegarkan semula ingatan kita di sini. Lebih-lebih lagi memandangkan Dorna telah mengkaji semula beberapa buah peraturan selepas kami menyiarkan arikel di bawah.
Pertama sekali, kategori Moto3 dan Moto2 dianggap sebagai ‘feeder class’ bagi kejohanan MotoGP. Ini bermakna kedua-dua kategori ini adalah medan mencungkil dan mengasah bakat bagi penunggang MotoGP masa hadapan.
Dan oleh kerana itu, sebuah enjin spesifikasi yang sama akan dibekalkan buat ke semua pasukan Moto2. Antara pasukan-pasukan tersebut adalah KTM, MV Agusta, Kalex, NTS, dan Speed Up, yang mana mereka kemudiannya akan membangunkan dan menghasilkan kerangka motosikal dan casis mereka sendiri untuk enjin berkenaan.
Pembekal enjin bagi kelas Moto2 sebelum ini adalah Honda. Penjana kuasa yang dibekalkan adalah berasaskan motosikal kegunaan jalan raya, CBR600RR mereka.
Kata kuncinya di sini adalah ‘motosikal kegunaan jalan raya’. Dorna mahukan jentera Moto2 sehampir mungkin seperti motosikal kegunaan jalan raya, dan dengan itu, enjinnya telah mengambil ilham daripada motosikal yang boleh dimiliki oleh orang ramai. Oleh kerana itu juga, keluaran kuasa enjin tersebut telah dihadkan pada tahap tertentu.
Enjin Moto2 Triumph adalah enjin yang didasarkan daripada enjin motosikal Street Triple RS 765cc, yang telah dilancarkan pada tahun 2017. Enjin model Street tersebut mampu menghasilkan sehingga 121hp pada 11,700rpm, dan 77Nm tork pada 10,800rpm. Terdapat 80 buah bahagian baharu dalam enjin 765cc triple baharu berbanding enjin 675cc triple yang terdahulu.
Jadi, berapa banyak kuasa yang boleh dihasilkan oleh enjin perlumbaan ini dan apakah yang ada pada enjin ini? Triumph telah menyiarkan satu sebaran akhbar rasmi.
Pembangunan dan Ujian Enjin
Triumph telah menjalankan program ujian berbilang fasa bagi memaksimakan tahap prestasi, ketahanan, dan pemacuan enjin tersebut.
Program ini terdiri daripada:
- Program pembangunan dua tahun yang meliputi ujian dalam kilang, dynamometer, dan berbilang lokasi litar.
- Melengkapkan lebih daripada 2,500 pusingan dalam rentak kelajuan perlumbaan.
- Penggunaan saduran enjin berprestasi tinggi.
- Pembangunan bahagian dalaman enjin utama.
Antara perubahan yang dilakukan pada enjin ini adalah:
- Kepala silinder yang diubahsuai dengan lohong masukan dan ekzos yang dirombak semula bagi mengoptimakan aliran gas.
- Nisbah pemampatan yang lebih tinggi (ombohnya masih standard).
- Injap titanium dan pegas yang lebih keras.
- Pemasaan ‘cam’ yang dirombak semula bagi mendapatkan kemuncak RPM yang lebih tinggi.
- Penyuntik bahanapi aliran tinggi.
- Alternator perlumbaan inertia rendah.
- Nisbah gear pertama dan kedua yang dirombak semula.
- Pelitup enjin yang dirombak semula bagi mengurangkan kelebarannya.
- ‘Sump’ yang dirombak semula bagi mempertingkatkan penyaliran paip ekzos.
- Ke semua rombakan semula ini menghasilkan 138hp.
Pembangunan dan ujian ECU
Ke semua jentera Moto2 akan dilengkapi dengan ECU Magneti Marelli standard yang dibekalkan oleh Dorna. ECU ini telah dihasilkan dengan kerjasama Triumph. Dorna membatalkan pengenalan ciri kawalan cengkaman bagi Moto2 untuk tahun 2019, walaupun mereka telah mengumumkannya pada awal tahun ini. Penggunaan kawalan cengkaman memerlukan setiap pasukan untuk mendapatkan khidmat penganalisa data khas, yang mana akan meningkatkan kos.
Pembangunan dan ujian casis
Triumph telah membekalkan enjin pembangunan tahap awal melalui Externpro buat setiap pasukan untuk menjalankan ujian. Ujian ini telah dijalankan oleh para penunggang Moto2.
Keputusan daripada ujian pasca musim 2018 di Jerez
Ke semua penunggang menyatakan bahawa mereka sedang membiasakan diri dengan jentera, perwatakan enjin, dan ECU baharu. Cuaca di Jerez adalah sejuk sewaktu tempoh ujian dengan sinaran matahari yang memancar buat seketika dan hujan pada hari ketiga.
Namun begitu, ujian ini telah menunjukkan yang motosikal baharu ini telah pun mencapai rentak yang sama seperti jentera tahun yang sebelumnya. Ke semua penunggang telah memberikan maklum balas yang positif pada penghujung ujian ini, terutamanya dari segi agihan kuasanya yang lancar dan tork yang lebih tinggi, berbanding enjin terdahulu.
Jentera baharu ini diandaikan mampu mencatat masa yang lebih pantas menjelang sesi ujian Moto2 rasmi bermula 20 Februari 2019 di Jerez.